Remaja hilang ditemui selepas azan dilaungkan – “Dengar nama dipanggil namun tidak nampak sesiapa”

Oleh KIM SYAZIE

Selepas azan dilaungkan, barulah pelajar tahfiz yang dilaporkan hilang selama tiga hari berjaya ditemukan, semalam.

Hilang di kawasan kebun getah di Kampung Tawai, Gerik, remaja itu mendakwa dirinya terdengar suara orang memanggil namanya.

Namun anehnya, remaja yang hilang selepas keluar rumah untuk menunaikan solat subuh di masjid itu tidak dapat melihat sesiapa.

Remaja tersebut juga gagal menemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sepanjang kehilangannya walaupun berada di tempat yang sama.

“Muhammad Naufal Adzimi juga tidak makan selama tiga hari dan hanya minum air parit yang terdapat di kawasan kebun itu,” katanya.

Penuh misteri, kejadian yang menimpa Muhammad Naufal Adzimi itu diceritakan semula oleh bapanya, Mohd Harriz Muhamed.

Menurut Harriz, anaknya yang berusia 17 tahun itu mulanya hilang kawalan ketika menunggang motosikal sebelum tidak sedarkan diri.

Ketika usaha pencarian anaknya dilakukan, hanya sebuah motosikal yang ditunggang Naufal berjaya ditemukan di kawasan kebun tersebut.

Oleh kerana Naufal tidak berjaya ditemukan, Harriz segera bergegas ke balai polis untuk melaporkan kehilangan anaknya.

Semalam, pasukan SAR memutuskan untuk melaungkan azan sebelum berjaya menemukan Naufal dalam keadaan selamat.

Syukur, Naufal dijumpai pada pukul 10.49 pagi, kira-kira dua kilometer dari lokasi motosikal yang ditinggalkannya ditemukan.

Harriz yang bertugas sebagai Penolong Jurutera Majlis Daerah Gerik itu memaklumkan bahawa anaknya kini berada di Hospital Gerik.

Menerima rawatan, Naufal yang mengalami beberapa kesan calar di muka dan badan itu berada di dalam keadaan stabil.

Baca juga: ‘Mee Godzilla’, restoran ini jual mi daging buaya berharga RM225 semangkuk