Remaja lepasan SPM sanggup kerja jadi buruh demi kumpul duit ke menara gading

Oleh KIM SYAZIE

Demi mengejar cita-cita ke menara gading, seorang remaja lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nekad bekerja sebagai buruh selama dua bulan bagi mengumpul wang untuk melanjutkan pelajaran.

Muhammad Aiman Haqimie Muhammad Zamri, 18, berkata, hasil titik peluhnya bekerja buruh di Jerantut, Pahang tidaklah banyak, namun cukup untuk menampung keperluan asas sebelum mendaftar ke Kolej Matrikulasi Kelantan, hari ini.

Bagaimanapun memetik Harian Metro, dalam usaha kerasnya mencari rezeki, kediaman keluarganya di Kampung Ayer Chanal dilaporkan musnah dalam kebakaran pada 25 Mei lalu, sekali gus menyebabkan mereka sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang.

Remaja anak kedua daripada lima beradik itu tetap tekad untuk meneruskan impian melanjutkan pengajian meskipun berdepan pelbagai dugaan hidup.

“Saya tiada pilihan lain sebaliknya perlu terus kuat kerana ini satu-satunya jalan untuk mengubah nasib kehidupan saya dan keluarga.

“Tambahan pula, saya menjadi harapan ibu dan ayah selepas abang sulung tidak dapat meneruskan pengajian juga kerana masalah kewangan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Muhammad Aiman berkata, bapanya telah menyewa kereta untuk menghantarnya ke Kolej Matrikulasi memandangkan satu-satunya kereta yang ada, rosak sejak beberapa tahun lalu dan tidak mampu untuk dibaiki.

“Persiapan dilakukan ala kadar saja kerana tidak mahu membebankan ibu dan ayah, namun dalam masa sama, saya berdoa agar ada rezeki untuk saya membeli kelengkapan lain selepas ini termasuk komputer riba,” katanya lagi seperti dilapor.

Baca juga: “Suami asyik melepak, lebihkan ‘member’, aku yang mengidam terpaksa beli sendiri…”