‘Respect’! Selebriti pertama berani batalkan semua kontrak dengan jenama pro Israel

Oleh KIM SYAZIE

Tidak lama selepas tersenarai dalam gerakan Blockout 2024, seorang pelakon wanita ini mengejutkan ramai apabila mendedahkan sudah menamatkan kontrak dengan beberapa jenama antarabangsa yang pro zionis Israel.

Tidak mendedahkan secara terperinci jenama tersebut, Daiyan atau nama penuhnya Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 30, berkata keputusan tersebut diambil kerana memandang isu boikot ini secara serius.

“Saya ingin maklumkan bahawa saya telah menamatkan kontrak dengan beberapa jenama (berkait dengan Zionis). Ada juga jenama yang saya akan hentikan kerjasama pada masa akan datang.

“Saya terima segala teguran dan memandang isu ini dengan serius,” katanya menurut laporan Kosmo!.

Tambah pelantun lagu Langit itu, tindakannya itu juga sekali gus menunjukkan pendirian dan solidaritinya terhadap semua konflik yang berlaku di Palestin ketika ini.

“Ini adalah cara saya menunjukkan sokongan dan pendirian yang berterusan berkaitan isu di Palestin,” katanya lagi.

Menurut laporan portal terbabit, Daiyan bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci mengenai penamatan kontrak tersebut termasuk berkaitan tindakan undang-undang dan penalti.

Sebelum ini, namanya menjadi sebutan apabila tersenarai sebagai selebriti Malaysia yang harus disekat menerusi kempen Blockout 2024.

Menyedari hal tersebut, dia menegaskan tidak pernah berhenti menyebarkan tentang isu Palestin dalam media sosialnya malah turut mendedahkan menderma RM100,000 kepada empat buat badan bukan kerajaan (NGO) yang setiap satunya berjumlah RM25,000.

Baca juga: “Suami curang dengan kawan tadika ketika aku hamil, jatuh terduduk lepas buka telefon dia”