Rezeki terpijak! Warga emas bakal terima RM18,000 lepas berkunjung ke ‘booth’ MoF

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang warga emas tidak menyangka, tindakannya mengunjungi ‘booth’ atau reruai Kementerian Kewangan (MoF) semalam bakal memberikan ‘rezeki terpijak’ buatnya.

Mana tidaknya, warga emas terbabit baru mengetahui bahawa dirinya memiliki Wang Tidak Dituntut (WTD) berjumlah RM18,000 selepas berkunjung ke reruai berkenaan.

Difahamkan, warga emas terbabit hadir ke Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 di Boulevard Mall Miri, Sarawak, semalam untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan.

Lelaki berusia 80 tahun itu kemudian mengunjungi reruai MoF di program berkenaan sebelum memutuskan untuk membuat semakan wang tidak dituntut di atas namanya.

MoF menerusi satu kenyataan di platform X berkata, wang yang berjumlah RM18,000 itu akan dikreditkan ke akaun bank milik warga emas terbabit dalam tempoh 30 hari.

“Lelaki yang berasal dari Bahagian Miri itu hadir untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan di PMR yang berlangsung di Boulevard Mall Miri dan sempat singgah di kaunter MOF yang antara lain menyediakan khidmat terus kepada rakyat.

“Wang Tak Dituntut (WTD) warga emas ini akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank penuntut dalam tempoh 30 hari selepas Jabatan Akauntan Negara Malaysia (Cawangan Miri) menerima dokumen lengkap,” katanya.

Dalam kenyataan sama, MoF memaklumkan bahawa mereka yang tidak berpeluang ke PMR boleh juga membuat semakan WTD menerusi laman sesawang eGUMIS https://egumis.anm.gov.my.

Terdahulu, MoF pada awal tahun lalu telah mendedahkan bahawa jumlah WTD yang direkodkan oleh Jabatan Akauntan Negara sepanjang tahun lepas dianggarkan mencecah RM11.7 bilion.

WTD ini bukan sahaja melibatkan duit yang masih disimpan dalam akaun bank tidak aktif dalam tempoh lama, malah turut membabitkan wang insurans, pembayaran dividen dan lain-lain berkaitan yang sepatutnya dituntut sebelum ini.

Baca juga: Menakutkan! Perompak selamba larikan kereta, tak takut walaupun tuan rumah ada