Seorang penghantar makanan (rider) pasrah ditipu pelanggan yang membuat pesanan palsu, membeli 110 cucuk sate melalui aplikasi penghantaran makanan.
Dia hanya menyedari pesanan itu palsu selepas tiba di hadapan rumah yang tidak berpenghuni dan pintu pagar pula dalam keadaan berkunci.
Bahkan berdasarkan klip video yang tular di laman Instagram, jelas terlihat iklan dipasang pada rumah itu yang memaklumkan kediaman tersebut adalah untuk dijual.
Tanpa menyalahkan individu yang menipunya, rider dari Indonesia itu bertindak memberikan kesemua sate kepada sebuah rumah anak yatim sehingga mendapat pujian netizen di negara tersebut.
Pada pengakhiran video, dia menyerahkan sate tersebut kepada pengurus rumah anak yatim sebelum turut sama dijemput menikmati hidangan itu bersama para penghuninya.
Video itu mendapat perhatian netizen dengan ramai memuji tindakan lelaki berkenaan.
“Semoga Allah gantikan dengan rezeki yang tidak terduga,” kata seorang pengguna media sosial memetik Agensi.
Baca juga: Terima rasuah RM1 juta, OCPD lindung pusat hiburan, rumah urut diheret ke mahkamah