Usahawan dan pempengaruh, Ridzuan Ridzokumura mengakui pemergian isterinya iaitu Allahyarham Akiko Okumura memberikan kesan yang cukup mendalam kepada kehidupannya dan anak tunggal mereka.
Malah pemilik nama sebenar Abd Ridzuan Abdul Mutalib itu juga mendedahkan bahawa anak lelakinya, Sky Taizo Okumura kini sering dijadikan bahan usikan oleh rakan-rakannya di sekolah selepas kematian ibunya.
Akibat daripada kejadian itu, Ridzuan memutuskan untuk menukarkan sahaja Sky ke sekolah lain dengan harapan dapat melindungi dan menjaga kesihatan mental kanak-kanak terbabit.
Perkara tersebut didedahkan oleh Ridzuan menerusi satu sesi siaran langsung di akaun TikTok miliknya pada Selasa ketika berkongsikan perkembangan terbaharu mengenai Sky kepada para pengikutnya.
“Saya tukarkan sekolah Sky sebab nampak dia tak selesa kena ejek dengan rakan-rakan di tempat (sekolah) lama. Jadi saya faham apa yang Sky rasa, tambah pula risau jika dia mengalami depresi nanti.
“Budak-budak itu mengata sampai membuatkan Sky terasa hati. Mereka cakap Sky hanya memiliki satu sahaja keluarga. Tetapi mereka ada dua,” kongsi Ridzuan dalam sesi siaran langsung tersebut.
Menerusi perkongsian sama, Ridzuan yang juga bapa saudara kepada pelakon iaitu Zarina Zainuddin itu juga memaklumkan bahawa dirinya dan anak sudah mencuba untuk mendapatkan rawatan psikiatri.
Hal ini ekoran kanak-kanak berusia 13 tahun itu kadangkala dilihat menangis bersendirian namun sayangnya rawatan tidak dapat dilakukan secara rutin kerana mempunyai halangan termasuklah kekangan kos.
“Saya kasihan tengok Sky. kadang-kadang itu nampak dia duduk seorang diri dan menangis. Kami berdua memang ada berjumpa dengan pakar psikiatri dan kosnya juga bukannya murah.
“Bayaran untuk rawatan Sky, sekitar enam jam sahaja sudah RM3,500. Manakala untuk saya pula dikenakan caj sebanyak RM2,750 dalam tempoh satu jam.” Jelas Ridzuan lain dalam pendedahan itu.
Terdahulu, Allahyarham Akiko dilaporkan meninggal dunia pada 28 Februari lalu akibat terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium yang terletak di Subang Jaya, Selangor.
Sekadar info, Ridzuan mendirikan rumah tangga dengan Akiko yang merupakan warganegara Jepun pada Februari 2009 dan hasil dari perkahwinan itu, mereka dikurniakan cahaya mata lelaki tunggal iaitu Sky.
Baca juga: Sasarkan 10,000 langkah sehari, Haiza tak akan ambil jalan pintas untuk turunkan berat