Riena Diana ludah muka Faizal Hussien, dedah babak dipotong dalam drama Bidaah

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Riena Diana baru-baru ini mendedahkan salah satu cabaran perlu dilaluinya ketika berlakon di dalam drama bersiri Bidaah yang kini menjadi fenomena hingga ke negara seberang, Indonesia.

Menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun Instagram miliknya, Riena memaklumkan bahawa cabaran tersebut adalah meludah pelakon senior iaitu Faizal Hussein dalam salah satu babak drama tersebut.

Riena atau nama sebenarnya, Nur Qamarina Diana Zulreal mengakui pada awalnya merasa takut untuk melakonkan adegan tersebut sehingga beberapa kali bertanya kepada pengarah dan Faizal mengenainya.

Namun demi menjayakan watak Baiduri di dalam drama tersebut, Riena akhirnya memberanikan diri dan berjaya melakonkannya selepas Faizal dan pengarah memberikan semangat kepadanya.

“Kena ludah Faizal Hussein, minta ampun Walid. Semasa buat babak ini, banyak kali saya tanya kepada pengarah dan abang (Faizal). Kalau tidak buat tak boleh ke? Sebab rasa takut.

“Tetapi sebab mereka faham dan sempoi. Selain kena faham bahawa ini hanya lakonan, saya buat juga,” katanya pelakon berkenaan menerusi satu hantaran di platform Instagram.

Dalam perkongsian yang sama, Riena turut berkongsikan babak tersebut memaparkan watak Baiduri dikasari oleh Walid sebelum pelakon wanita terbabit meludah ke muka Faizal Hussein.

Walau bagaimanapun, Riena turut memaklumkan babak tersebut dikatakan telah dipotong dan tidak dimasukkan di dalam drama karya penerbit terkenal, Erma Fatima itu atas sebab-sebab tertentu.

Pelakon berusia 28 tahun itu juga sempat menzahirkan ucapan terima kasih kepada para penonton kerana sudi menyokong drama yang menduduki tangga pertama di platform penstriman langsung iaitu Viu.

Sekadar info, Bidaah dilaporkan meraih 2.5 bilion tontonan di platform digital termasuklah media sosial selain kekal sebagai drama nombor satu di saluran Viu Malaysia dan Indonesia.

Watak Walid yang dijayakan oleh Faizal dalam drama itu juga telah mencetuskan ‘trend’ parodi di platform TikTok melibatkan pengguna Malaysia dan Indonesia sekali gus menggambarkan sambutan diterima Bidaah.

Baca juga: Cerai 2 kali, Yusof Haslam titip semangat buat Syamsul, harap tak serik nak kahwin lagi