Riena Diana nafi jalani pembedahan plastik, telinga tak nampak capang sebab pakai gam

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Riena Diana menafikan dakwaan segelintir pihak yang menuduhnya menjalani pembedahan plastik ekoran berlaku sedikit perubahan kepada bentuk telinganya yang dikatakan terlihat capang sebelum ini.

Sebaliknya, perubahan tersebut hanya bersifat sementara di mana Riena menggunakan satu cecair dipercayai gam kosmetik untuk melekatkan telinganya ke kulit supaya tidak terlihat terlalu capang.

‘Rahsia’ tersebut didedahkan oleh pemilik nama sebenar Nur Qamarina Diana Zulreal itu menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok milik Inayah Beauty Trading.

“Orang sibuk cakap saya buat pembedahan telinga. Saya seru orang-orang capang sekalian dan juga sesiapa yang menuduh, cakap Riena Diana dahulu dengan sekarang berbeza.

“Adalah yang bercakap, ‘Eh, telinga dia dahulu bukan ke capang dahulu. Macam itulah artis, mesti dia pergi buat pembedahan telinga. Minta maaf sedikit, kita tak jalani pembedahan ya.

“Kita pakai gam sahaja. Sabar sekejap, nanti magis itu akan berlaku,” jelas pelakon berusia 27 tahun terbabit untuk menjawab tuduhan segelintir pihak menerusi video berdurasi 37 saat tersebut.

Dalam perkongsian yang sama, pelakon drama bersiri Bidaah itu turut menunjukkan proses perubahan tersebut dengan meletakkan gam kosmetik di hujung telinganya sebelum dilekatkan di kulit.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna memberikan pelbagai reaksi di mana beberapa pelayar TikTok bertanyakan jenis gam yang digunakan oleh Riena kerana menghadapi masalah sama iaitu telinga capang.

Ramai juga pengguna tampil berkongsi petua masing-masing untuk memastikan telinga tidak terlihat terlalu capang namun beberapa individu pula berpandangan bahawa keadaan seperti itu bukanlah satu kekurangan.

Baca juga: Wanita terpaksa tolak lamaran lelaki askar sebab setiap bulan baki gaji negatif