Rindu seorang bapa si pemandu treler, jumpa anak pun di jejantas, “Maafkan ayah nak, ayah jarang balik…”

Oleh KIM SYAZIE

Video seorang pemandu treler yang melepaskan rindu berjumpa dengan anak-anak dan isterinya di atas jejantas, mengusik emosi orang ramai.

Dalam video itu, kelihatan isteri dan empat orang anaknya berusia antara 11 bulan hingga tujuh tahun menunggu untuk menemuinya di jejantas.

Video itu kemudian tular dan meraih lebih 1.4 juta tontonanMenurut Muhammad Ghaffar Ilham Kamaruddin, 30, momen itu dirakam ketika dia dalam perjalanan menghantar bekalan sebelum berhenti seketika untuk bertemu keluarga selepas dua hari tidak berjumpa.

Kerjaya sebagai pemandu treler menuntut masa untuk berada di jalan raya setiap hari sehingga kerap terlepas peluang melihat anak membesar.

Berkongsi kisah itu kepada Berita Harian, Muhammad Ghaffar berkata, video berkenaan dibuat untuk mengenang memori mereka ketika tinggal berasingan dua tahun lalu apabila dia hanya pulang ke rumah setiap dua minggu kerana tuntutan kerja.

Menurutnya, ketika itu keluarganya masih tinggal di Batu Pahat, manakala dia di Pasir Gudang dan memenuhi tempahan muatan di sekitar Johor Bahru sebelum membawa keluarga berpindah ke Kota Masai, sejak dua tahun lalu.

“Sebelum ini saya pandu kargo dan hanya pulang ke rumah seminggu sekali saja sebelum saya ubah angin pandu treler tangki pula dan pulang ke rumah dua minggu sekali kerana order di sekitar Johor Bahru sementara keluarga di Batu Pahat.

“Setiap kali ada order di Melaka dan Senawang, Negeri Sembilan saya beritahu isteri (Nur Syarzurah D Wanis, 26) supaya dia dan anak tunggu di mana-mana lokasi untuk kami bertemu sekejap bagi melepaskan rindu.

“Sekarang kami tinggal bersama, cuma masa bersama keluarga masih kurang kadang-kadang dua hari sekali baru balik, tetapi saya usaha untuk pulang ke rumah juga biarpun bila sampai anak sudah tidur,” katanya ketika dihubungi.

Justeru, katanya, video TikTok itu dibuat untuk kenangan dan mengamit memori zaman ‘berpisah’ berminggu-minggu sebelum ini supaya semua anaknya boleh melihat kembali memori itu apabila mereka besar.

“Kebetulan ketika itu isteri dan anak pulang ke kampung jadi kami curi masa berjumpa sekejap sebelum merakam video yang memang kisah sebenar keluarga kami sejak dulu.

“Saya terharu dan gembira baca komen di TikTok yang mendoakan keselamatan saya dan keluarga, malah ramai berkongsi pengalaman sama dalam pelbagai bidang kerja yang menuntut mereka tidak dapat pulang ke rumah selalu,” katanya.

Baca juga: Dituduh tak bayar hutang, Tan Sri Abdul Kadir enggan turun ‘selevel’ dengan Alif Syukri