RM1.0865 bilion geran k’jaan tambahkan parah skandal 1MDB

Oleh BORHAN AHMAD

Rafizi RamliSetelah tidak berpuashati dengan penjelasan 1MDB berhubung baki dana terbitan sukuk RM2.4 bilion untuk membiayai kerja-kerja pemindahan dan naik taraf pangkalan-pangkalan tentera udara, Rafizi Ramli menimbulkan pula geran kerajaan berjumlah RM1.0865 bilion yang diterima syarikat tersebut bagi projek yang sama.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, Laporan Ketua Audit Negara 2014 bagi Aktiviti Kementerian/Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan bagi perkara
penyaluran geran kepada syarikat dimiliki Menteri Kewangan Diperbadankan mendedahkan bahawa 1MDB telah diberi RM1.0865 bilion geran kerajaan bagi tujuan ‘pembinaan bagunan gantian dan perolehan peralatan susulan pembangunan semula Sungai Besi’.

“Ini bermakna 1MDB telah menggunakan dana awam dalam bentuk geran Persekutuan untuk membiayai kos kerja-kerja pemindahan dan naik taraf pangkalan-pangkalan tentera udara yang sebenarnya adalah tanggung jawab 1MDB,” ujar Naib Presiden PKR itu.

Lebih teruk lagi, tambah beliau jumlah dana yang telah diperolehi 1MDB dalam bentuk terbitan sukuk sebanyak RM2.4 bilion dan geran Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.0865 bilion berjumlah RM3.4865 bilion adalah jauh melebihi kos keseluruhan projek yang diumumkan iaitu RM2.7 bilion.

“Malangnya, 1MDB sendiri mengakui bahawa hanya RM800 juta yang telah dibayar setakat ini dan RM1.9 bilion masih berbaki,” ujar beliau.

Sehubungan itu beliau menuntut Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak menjelaskan mengapa Kerajaan Persekutuan meluluskan geran berjumlah RM1.0865 bilion kepada 1MDB untuk membiayai sebahagian kerja-kerja tersebut sedangkan itu adalah tanggung jawab kewangan 1MDB.

Ini ujarnya berdasarkan perjanjian 1MDB dengan Kerajaan Persekutuan sebagai pertukaran 1MDB dianugerahkan tanah-tanah Pangkalan TUDM Sungai Besi pada harga yang rendah.

Najib juga perlu menjelaskan baki geran sebanyak RM286.5 juta daripada RM1.0865 bilion yang telah dibayar Kerajaan Persekutuan kepada 1MDB memandangkan hanya RM800 juta diagihkan kepada kontraktor.

“Jika keseluruhan bayaran kepada kontraktor sebanyak RM800 juta kini ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan melalui geran ini, ke mana pula keseluruhan dana RM2.4 bilion dari terbitan sukuk yang sepatutnya digunakan bagi menanggung kos projek ini?” soal beliau.

Menurut Rafizi, jumlah RM3.4865 bilion yang terbabit di dalam skandal ini telah melebihi jumlah RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib.

“Beliau wajar meminta maaf kepada rakyat kerana mengumumkan dengan bongkaknya bahawa masalah kewangan 1MDB diselesaikan tanpa melibatkan dana rakyat, sedangkan Ketua Audit Negara sendiri telah mengesahkan bahawa RM1.0865 bilion dana rakyat telah disalurkan kepada 1MDB bagi menanggung kos yang sepatutnya dibayar oleh 1MDB,” tegas beliau.