RM1.2 juta wujudkan komuniti sihat Selangor

Oleh ARIF ATAN

Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukan sebanyak RM1,214,400 bagi projek rintis Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, daripada jumlah tersebut RM50,000 telah digunakan bagi tujuan latihan kepada koordinator dan ahli SUKA.

Menurutnya, sebanyak RM18,000 diberikan kepada setiap Dun bagi menjalankan program dan aktiviti berkaitan dengan peruntukan keseluruhan RM1,008,000 manakala bakinya digunakan bagi tujuan pembelian vest, kit sukarelawan dan aktiviti promosi program SUKA di seluruh negeri.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Edry Faizal Edyy Yusof (PH-Dusun Tua) dan Leong Tuck Chee (PH-Pandamaran) berhubung peranan dan fungsi SUKA serta jumlah peruntukan bagi pelaksanaan program tersebut.

Dr Siti Mariah menjelaskan bahawa kerajaan negeri telah menubuhkan SUKA di kesemua 56 Dun di Selangor pada Jun lalu.

“Misi SUKA ialah untuk untuk mewujudkan sebuah komuniti yang sihat sejahtera dalam aspek fizikal dan mental melalui aktiviti dan program setempat yang dapat meningkatkan kesihatan dan kesedaran orang awam.

“Sejak awal penubuhan SUKA lagi, peranannya tidak hanya dihadkan kepada membantu dalam aspek pencegahan dan rawatan untuk Covid-19 sebaliknya merangkumi aspek-aspek kesihatan yang lain seperti terkandung dalam objektif penubuhan SUKA,” katanya.

Selain membantu mengurangkan insidens dan prevalens penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, SUKA berperanan mempromosikan dan menggalakkan budaya gaya hidup sihat melalui pelbagai platform kepada masyarakat setempat.

Bagi tujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan diri dan kebersihan persekitaran selari dengan peralihan fasa Covid-19 daripada pandemik kepada endemik pada akhir tahun ini, Dr Mariah berkata, peranan SUKA akan dipertingkatkan dengan pelbagai program dan aktiviti yang bersesuaian.

Jelasnya, program dan aktiviti tersebut akan menumpukan kempen dan advokasi, promosi gaya hidup sihat, kesihatan mental, kesihatan persekitaran, pencegahan penyakit-penyakit tidak berjangkit, program kepada kanak-kanak dan warga emas dan lain-lain.