Rumah peniaga Aceh berketurunan Arab, Syed Mohd Al-Attas pada pertengahan abad ke-19 iaitu antara tahun 1860an hingga 1870an di Lebuh Armenian telah siap dibaik pulih dan dipulihara dengan kos sejumlah RM1.5 juta.
Rumah yang tersergam indah itu mempunyai gaya seni binanya yang tersendiri dan menampilkan bulan sabit serta bintang yang bersudut tegak.
Ia juga digabungkan dengan pengaruh India, Eropah dan Melayu yang telah menjadi kediaman peniaga dan penguasa tersebut sebagai seorang pemimpin masyarakat Muslim tatkala itu.

Terkini rumah warisan tersebut akan dibuka sebagai premis sewaan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk dijadikan premis komersial.
Walau bagaimana pun sekiranya terdapat unsur-unsur warisan maka ia adalah lebih baik.
Bangunan dua tingkat itu berkeluasan 6,088 kaki persegi dan keluasan tanah pula adalah seluas 10,994 kaki persegi serta disiapkan kerja-kerja kajian, baik pulih dan pemuliharaannya dengan kerjasama MBPP dan George Town Conservation & Development Corporation pada Jun 2022.
Adalah difahamkan rumah warisan tersebut telah diiktiraf sebagai salah sebuah rumah kediaman Muslim yang terbaik dapat bertahan sehingga kini.