Sebanyak RM111, 000 telah disalurkan kepada 111 pelajar yatim yang telah kehilangan ibu atau bapa ekoran Covid-19 di Pulau Pinang.
Menurut Pengerusi Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Norlela Ariffin, mereka yang telah menerima sumbangan daripada Tabung Covid-19 tersebut adalah dari kategori B40 dari 21 buah sekolah.
“Setiap pelajar menerima sumbangan RM1,000 seorang dan kerajaan negeri menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi membantu kanak-kanak terbabit terutamanya bagi kesihatan mental dan kebajikan mereka.
“Setakat ini seramai 299 lagi kanak-kanak telah kehilangan ibu atau bapa merangkumi semua golongan masyarakat yang terdiri dari 224 orang Melayu, 47 berbangsa Cina dan 24 kaum India serta 4 dari lain-lain bangsa.
“Data ini juga menunjukkan 187 dari kanak-kanak tersebut dijaga oleh ibu. Manakala 71 oleh bapa dan 41 lagi oleh saudara mara serta dibantu dan diselia rapi oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat,” kata beliau ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, DUN Pulau Pinang kali ke-14 hari ini.