“RM2 je pun, macam teruk sangat dosa aku” – Penyanyi kongsi kisah buli, netizen berang

Oleh MALAYSIADATELINE

Isu buli walaupun tidak dipandang orang ramai ia sebenarnya memberi kesan sangat buruk kepada mangsa terutamanya untuk mental.

Namun masih ada yang berbangga berkongsi kisah mereka membuli dengan alasan amaun duit yang diambil itu tidak seberapa.

Jika dilihat RM2 untuk zaman sekarang amatlah sedikit tapi pada tahun 80-an, 90-an ia adakah amaun yang sangat besar dan tak semua mampu untuk bawa duit ke sekolah.

Menerusi rancangan Gegar Vaganza (musim 11), penyanyi Zehra Zambri berkongsi kisah nakalnya membuli pelajar lain untuk dapatkan duit bagi membeli jajan.

“Kisah nakal saya tu sehingga bapa saya dihubungi pihak sekolah. Dekat sekolah saya ada satu perangai iaitu membuli orang, saya peras ugut orang, kapla terbesar.

“Bukannya sampai RM10, sekadar nak beli jajan je, mintalah 10 sen, paling banyak 50 sen asalkan dapat, RM2 je pun, macam teruk sangat dosa aku.

“Tapi kesian dekat mak ayah saya sebab kena hadap pula ibu bapa yang jadi mangsa saya untuk minta maaf, pergi rumah ke rumah.

“Semua mangsa saya tu dah kawan baik dah, semua ok dengan saya, tak ada masalah, atau berdendam. Itu semua kenangan waktu kecil dahulu,” ujarnya dalam klip pendek sebelum persembahan.

Rata-rata netizen mengecam tindakan Zehra yang dilihat bangga berkongsi kisah membuli dalam rancangan yang dipertonton kepada khalayak ramai tanpa mengira lapisan umur.

“Tak ada kenangan ya tentang kena buli. Sebagai mangsa buli, rasa dendam dan sakit tu masih ada walaupun selepas 10 tahun.

“Jadi pembuli pun bangga, tak terkejutlah la budaya buli sampai sekarang masih tak boleh dibendung.

“Aku rasa tak selesa betul bila dengar dia cakap macam tu. Sebagai mak kepada mangsa buli, boleh pula cerita pasal dia buli orang kat televisyen,” antara komen netizen.

Baca juga: Mat Sentul kongsi petua panjang umur, “relaks je minum teh tarik..”