Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Datin Seri Rosmah Mansor tampil menafikan dakwaan sebuah akaun Facebook palsu menggunakan nama dan gambarnya berhubung status perkahwinannya.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di platform Facebook, Rosmah menjelaskan bahawa akaun yang memaparkan maklumat kononnya beliau adalah bekas isteri Najib itu bukanlah miliknya.
Rosmah turut menegaskan bahawa beliau masih bergelar isteri sah kepada ahli politik terbabit sekali gus menafikan dakwaan mengenai status perkahwinannya yang disebar oleh akaun Facebook palsu tersebut.
“Pengumuman. Sila ambil perhatian bahawa akaun Facebook Rosmah Binti Mansor ini bukanlah akaun tulen saya. Dan saya adalah dan masih isteri kepada Datuk Seri Najib Razak. Jangan buat fitnah,” katanya dalam hantaran itu.
Dalam perkongsian yang sama, Rosmah turut memuat naik satu tangkap layar memaparkan profil akaun palsu tersebut sebagai makluman kepada pengikut laman media sosial beliau.

Rosmah juga turut memaklumkan bahawa beliau hanya mempunyai satu akaun Facebook dan TikTok sahaja serta turut berkongsikan pautan kepada kedua-dua laman rasmi tersebut.
“Saya hanya ada satu akaun Facebook dan satu akaun Tiktok. Harap maklum, terima kasih.” Ujarnya menjelaskan perkara sebenar mengenai dakwaan status perkahwinannya dalam hantaran itu.
Baca juga: Baru tahu masyarakat Cina di Kelantan amal budaya hidup sebiji macam Melayu tapi tetap Cina