Hutang Mara: Che Ta akan keluar kenyataan ‘sebenar-benarnya’, dakwa ada yang tak sahih?

Oleh MALAYSIADATELINE

Pelakon, Rozita Che Wan yang lebih mesra disapa Che Ta akhirnya membuka mulut mengenai dakwaan bahawa dirinya gagal membayar hutang pinjaman daripada pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Menerusi satu hantaran dimuat naik di Instagram Story, Che Ta memberi jaminan akan mengeluarkan kenyataan ‘sebenar-sebenarnya’ suatu hari nanti untuk menjelaskan perkara itu.

Pelakon berusia 51 tahun itu juga meminta pihak media untuk membetulkan kenyataan selain mendapatkan maklumat yang sahih tentang laporan berhubung isu pinjamannya dengan Mara.

Dalam hantaran sama, Che Ta turut memuat naik tangkap layar petikan laporan media yang mendakwa dirinya tidak pernah membayar pembiayaan pinjaman daripada agensi berkenaan sejak tahun 2017.

“Sila betulkan kenyataan anda atau tolong dapatkan berita yang sahih! Suatu hari nanti, saya akan keluarkan kenyataan yang sebenar-benarnya,” katanya dalam satu hantaran.

Tangkap layar petikan laporan media yang dikongsikan oleh Che Ta.

Dalam pada itu, acara lelongan awam barangan milik Che Ta yang sepatutnya diadakan pada hari ini dikatakan telah ditunda ke satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan kemudian.

Hal ini berikutan pihak Mahkamah Sesyen Petaling Jaya membenarkan permohonan pemilik nama sebenar Rozita Abu Bakar itu selaku defendan untuk menangguhkan acara tersebut.

Dalam acara lelongan yang sepatutnya berlangsung hari ini itu, sebanyak 34 barangan dimiliki Che Ta dengan nilai keseluruhan bernilai RM902,012.46 bakal dilelong kepada orang awam.

Antara barangan tersebut adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) berjenama Haval, perabot serta beberapa barangan elektronik seperti peti ais, pendingin hawa, ketuhar, gelombang mikro, mesin basuh, mesin pengering, vakum dan televisyen.

Terdahulu, kediaman mewah milik Che Ta yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor diserbu oleh pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada 10 Disember lalu untuk urusan penilaian barangan bagi tujuan penyitaan.

Hal ini berikutan Che Ta yang juga usahawan itu didakwa gagal menjelaskan hutang pembiayaan perniagaan berjumlah hampir mencecah RM1 juta dipinjamnya pada 2017 daripada agensi berkenaan

Pinjaman bernilai RM960,000 itu dibuat melalui syarikat milik Che Ta iaitu RCW Worldwide Sdn Bhd dengan pelakon terbabit dan anak sulungnya yang berusia 28 tahun iaitu Ammar Effendy bertindak sebagai penjamin.

Baca juga: Dulu cuma pekerja kilang, sekarang jadi tauke besar buka kilang tepung ubi