Buat pencinta petai, anda tentu perasan harganya boleh naik mendadak pada musim tertentu, tapi bila tiba musim murah, mulalah rasa nak borong banyak-banyak!
Namun, di sebalik keghairahan membeli, terbit juga satu kerisauan… “Kalau tak habis, tak ke sayang kalau rosak?” Nak habiskan sekali hadap? Memang mustahil, ya!
Ikuti perkongsian portal Hello Doktor mengenai cara untuk menyimpan petai dengan cara betul agar boleh disimpan lama.
3 cara simpan petai tahan lama
Cara pertama: Simpan dalam bekas air
Anda boleh mengopek petai daripada kulitnya terlebih dahulu, atau dibiarkan bersama kulitnya.
- Jika petai dibiarkan bersama kulitnya, ia mestilah dipotong kecil-kecil mengikut ‘mata’ petai tersebut.
- Petai yang telah dikopek atau dipotong kecil perlu dibersihkan terlebih dahulu bagi mengelakkan kerosakan pada petai tersebut.
- Kemudian, masukkan petai ke dalam balang kaca atau botol plastik yang bersih.
- Isikan air sehingga menutupi keseluruhan petai tersebut.
- Simpan botol atau balang tersebut dalam peti sejuk di bahagian bawah.
- Pastikan anda menukar air dalam botol petai sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Ini bagi mengelakkan air menjadi busuk dan merosakkan petai yang disimpan.
Cara kedua: Bilas dengan air panas
- Masak air sehingga mendidih atau sediakan air panas.
- Kopek biji petai daripada kulitnya dan basuh sehingga bersih.
- Tuangkan air panas ke dalam mangkuk petai yang telah dikopek. Kemudian, kacau petai selama 3 hingga 5 minit. (Hati-hati ketika mengacau buah petai kerana ia melibatkan penggunaan air panas.)
- Kemudian, toskan petai tersebut.
- Dalam bekas yang lain, sediakan ais batu dan isikan dengan air sejuk. Selepas itu, masukkan petai yang telah ditoskan ke dalam air ais tersebut.
- Kacau dengan menggunakan sudu selama 2 minit, kemudian toskan petai tersebut. Penggunaan air sejuk boleh membantu menghentikan pemanasan pada petai dan mengekalkan tekstur yang rangup pada petai.
- Selepas ditoskan, lap petai dengan menggunakan tisu dapur sehingga benar-benar kering.
- Seterusnya, masukkan petai yang telah kering ke dalam beg plastik atau bekas kedap udara.
- Masukkan bekas petai ke dalam bahagian sejuk beku peti ais. Ia boleh disimpan sehingga satu tahun.
Cara ketiga: Bekukan dalam peti sejuk
Cara yang ketiga ini juga boleh membantu anda menyimpan stok petai lebih lama. Ia juga dikatakan boleh mengekalkan khasiat buah petai daripada hilang.
- Kopek kulit petai dan pastikan anda membuang selaput yang menempel pada buah petai tersebut.
- Sediakan air garam dan rendamkan buah petai dalam air tersebut selama 10 hingga 15 minit.
- Bilas buah petai dengan air bersih dan toskan.
- Kemudian, masukkan buah petai ke dalam bekas kecil dan bekukannya dalam peti ais. Jangan sesekali memasukkan air ke dalam bekas petai.
- Sebelum dimasak, rendam petai terlebih dahulu dalam air biasa untuk menyahbekukannya.
Baca juga: Patutlah Buah Keras selalu diguna dalam gulai! Rupanya ini fungsinya dalam masakan