Penonton filem pecah panggung, Crazy Rich Asian pastinya merasa kagum saat melihat kemewahan ‘istana’ milik keluarga watak utamanya, Nick Young.
Salah satu keluarga yang terkaya di Singapura, rumah agam keluarga Young itu tersergam dengan cukup indah dan dihiasi dengan dekorasi bertemakan Oriental.
Namun tahukah anda, kemewahan yang digambarkan di dalam filem tersebut sebenarnya diinspirasikan daripada Istana Woodneuk milik keluarga diraja Johor.
Dibina di kawasan elit Singapura di Taman Tyersall, perkara mengejutkan itu dimaklumkan sendiri oleh penulis buku Crazy Rich Asian, Kevin Kwan.
Menurut Kevin, dia mengimbau kembali kemewahan di dalam Istana Woodneuk suatu ketika dahulu ketika menggambarkan rumah keluarga Young di dalam bukunya.
Pernah dimiliki oleh Almarhum Sultan Abu Bakar, istana lama itu kini telah didaftarkan dibawah nama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.
Mula dibangunkan pada tahun 1935, istana yang dulunya mewah itu bagaimanapun telah berubah menjadi bangunan terbiar dua tingkat dan tidak berpenghuni.
Hal ini kerana, bangunan tersebut tidak pernah didiami atau dibaik pulih semenjak mengalami kerosakan teruk akibat insiden kebakaran pada tahun 2006.
Dibangunkan di hartanah termahal di Singapura, istana itu dianggarkan bernilai $3.5 bilion (sekitar RM16.24 bilion) jika dibaik pulih semula, lapor Bloomberg.
Memetik laporan Bloomberg, muncul satu khabar angin bahawa Tunku Mahkota Johor berminat untuk membangunkan semula kawasan bersejarah tersebut.
Walaupun khabar angin tersebut tidak dapat dipastikan ,namun bangunan terbiar itu telahpun menjadi tarikan di Singapura khususnya bagi peminat Crazy Rich Asian.