Seorang gadis tidak dapat menahan sebak saat bapa saudaranya mendukung dirinya untuk dihantar ke jinjang pelamin.
Menerusi video yang tular di media sosial, inap desa yang terletak di Rompin, Pahang itu telah dinaiki air akibat hujan lebat yang berterusan.
Oleh yang demikian, lelaki lanjut usia itu harus mendukung anak saudaranya yang lengkap berpakaian pengantin sambil dipayungi oleh individu lain.
Setelah sampai ke pelamin, gadis itu terlihat sungguh terharu dengan perilaku bapa saudaranya hingga menitiskan air mata.
Bapa saudaranya pula kelihatan mengusap kepala gadis berkenaan bagai memberi isyarat untuk melepaskan anak gadisnya ke gerbang perkahwinan.
Difahamkan, bapa kandung pengantin perempuan telah meninggal dunia pada dua tahun lepas akibat penyakit darah tinggi.
Menurut mempelai wanita yang dikenali sebagai Syasya itu, bapa saudaranya merupakan insan yang paling mengambil berat perihal ahli keluarganya.
“Apabila tok kadi sampai terus dia panggil dan minta izin nak dukung ke pelamin sebab tak nak saya basah. Itulah yang membuat saya sedih dan terharu.
“Lepas itu dia redah lagi sekali air untuk minta bunga tangan saya. Sedih juga mengenangkan ayah pada masa itu. Kalau dia ada mesti gembira dia tengok,” katanya.
Menggantikan tempat arwah bapa sebagai wali tanpa sebarang paksaan, Syasya bersyukur majlisnya berjalan dengan lancar.
Baca juga: Usaha lawan jenayah seksual kanak-kanak perlu kerjasama semua pihak – Raja Zarith Sofia