Tular beberapa hari lepas mengenai rumah nombor 42 milik Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini dirobohkan sepenuhnya oleh pemilik baru.
Barangan dalam kediaman tersebut dikatakan sudah dijual kepada rakan terdekat arwah sebelum ia dirobohkan.
Meskipun bersedih anak kepada Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Aliff Omar Ali mengakui keputusan menjual rumah ibunya adalah tepat.
Memetik Astro AWANI, Aliff memilih untuk menjual rumah ibunya yang terletak Petaling Jaya.
Menurut Aliff, tindakan itu merupakan keputusan yang terbaik yang dilakukannya dan pada masa sama berterima kasih kerana masih ramai mengingati ibunya.
“Walaupun saya sedih, saya rasa itu adalah keputusan yang terbaik untuk dilakukan.
“Perkara ini telah selesai dan saya berharap semua orang memahami keputusan saya.
“Terima kasih atas perhatian dan kerana masih mengingati ibu saya yang telah lama meninggal dunia,” katanya seperti dipetik Astro AWANI.
Rumah berkenaan yang diiklankan pada harga RM8 juta pada 2018 telah dijual pada harga kira-kira RM4 juta.
Malah ketika diiklankan di Facebook, jelas tertulis ia adalah milik kepada seorang penyanyi terkenal walaupun namanya tidak disebut.
Kini kawasan rumah tersebut telah diratakan untuk pembinaan bangunan tiga tingkat oleh pemilik baharu.
Baca juga: Simpan ‘surat cinta’ 9 tahun lepas, Norman Hakim kongsi detik kelahiran Marissa