Pengguna media sosial meluahkan rasa kagum selepas seorang individu memuat naik rakaman rumahnya yang langsung tidak dinaiki air biarpun halaman rumah sudah bertakung dengan air banjir.
Umum tahu banjir yang melanda sembilan negeri ketika ini kian memburuk dengan dua negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu paling teruk terjejas.
Banyak rumah yang tidak dapat diselamatkan berikutan air naik dengan sangat laju sehingga menenggelamkan banyak rumah.
Bagaimanapun perkongsian lelaki menggunakan nama @mfariswan di TikTok membuka mata ramai selepas berkongsi keadaan rumahnya yang langsung tidak dimasuki banjir.
Lelaki itu berkata, dia hanya menggunakan tanah liat yang biasa dijadikan mainan kanak-kanak dan sekeping papan plywood untuk menghalang air banjir dari memasuki rumah.
Ikhtiar yang dilakukannya ternyata berhasil kerana rumahnya selamat biarpun halaman rumah sudah digenangi air.
“Kita ikhtiar dan cuba. Alhamdulillah air tak masuk setitik pun. Geng-geng yang terkesan dengan banjir, air masuk pintu boleh cuba cara ini. Pasti menjadi!,” katanya.
Perkongsian itu menarik perhatian ramai yang rata-rata berterima kasih kerana berkongsikan panduan mudah untuk menghalang air banjir masuk.
Ada juga memberitahu sudah lama menggunakan tips tersebut dan ia ternyata berjaya.
“Setiap tahun kami buat macam ni memang membantu. Beli kayu playwood untuk pintu depan, dapur & tandas. Lepas banjir, tandas jer kena cuci. Tanah liat boleh ganti dengan gun glue mudah nak tanggal,” komen seorang pengguna TikTok.
Baca juga: Ira Kazar belum sedia terima pinangan, akui lebih bahagia dengan kehidupan solo