Rumah Peduli Rakyat akan dilancar Pemuda Amanah

Oleh MALAYSIADATELINE

Pemuda Amanah akan melancarkan projek ‘Rumah Peduli Rakyat’ pertama bagi memastikan golongan berpendapatan  rendah mampu memiliki rumah.

Ketua Pemuda Amanah Nasional, Sany Hamzan berkata, Pemuda Amanah mahu memastikan kualiti kehidupan rakyat di kawasan kampung diperkasakan dan dibela.

“Ini merupakan projek pertama rumah rakyat dengan modal yang amat sederhana di negara ini.

“Sebagai entiti yang serius dalam usaha membela rakyat susah dan terpinggir Pemuda Amanah berpendapat mereka perlu mendapat pembelaan daripada segenap lapisan masyarakat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sany berkata projek perumahan rakyat ini adalah isyarat kepada kerajaan Umno-BN yang mendakwa kononnya kadar peratus miskin tegar di negara ini adalah sifar peratus.

“Ini satu pembohongan dan Pemuda Amanah menyeru seluruh badan bukan kerajaan  (NGO) dan syarikat korporat terlibat sama dalam usaha penting ini.” ujarnya.

Rumah Peduli Amanah ini akan dilancarkan di Kampung Baru Seri Dacing, Sik Kedah pada 16 Januari ini jam 11 pagi yang akan dihadiri oleh pemimpin tertinggi Amanah.

Walaupun sebagai sebuah parti politik yang baru ditubuhkan, Pemuda Amanah ujarnya berkeyakinan mampu menjayakan projek perumahan rakyat miskin ini.

“Buat masa sekarang dana terkumpul hanya mampu membina sebuah rumah sahaja.

“Namun kami percaya jika model (pilot project)  pertama ini siap kelak, penyumbang yang dermawan tidak akan ragu-ragu dengan keseriusan Pemuda Amanah.

“Kami mahu melihat rakyat khususnya di kawasan luar bandar mampu hidup  gembira bersama keluarga tersayang dengan adanya tempat perlindungan yang lebih selesa,” ujarnya.