Rupanya ada sebab perbelanjaan Cik B lebih RM1 juta, ini penjelasan Datuk Seri Vida

Oleh WAN SITI AMINAH

Anak kepada ahli perniagaan sensasi, Datuk Seri Vida iaitu Cik B berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas dikatakan berbelanja lebih RM1 juta sebulan.

Menyedari Cik B masih menjadi topik perbincangan hangat, Datuk Seri Vida tampil membuat satu pendedahan mengejutkan mengenai perbelanjaan anak sulungnya itu.

Pemilik nama sebenar Hasmiza Othman itu tidak menafikan bahawa dirinya memberi kebebasan kepada anak-anaknya untuk menguruskan sendiri kewangan peribadi.

Usahawan berusia 52 tahun itu juga mengakui Cik B tidak berboros dalam berbelanja sebaliknya hanya berniat untuk menolong peniaga-peniaga kecil, lapor Gempak.com.

“Ada dia belanja untuk kegunaan peribadi. Tetapi dia juga belanja untuk keperluan perniagaan. Saya banyak beri kebebasan untuk dia uruskan perniagaan sendiri.

“Dia juga bantu peniaga-peniaga kecil yang cuba buat siaran langsung tetapi tiada penonton. Jadi apabila Cik B masuk, jumlah tontonan daripada 30 boleh jadi 1,000.

“Cik B (berbelanja untuk) membantu orang-orang yang baru mula berniaga kerana dia rasa benda itu ada nilai,” jelas usahawan tersebut memetik laporan Gempak.com.

Vida berharap, keputusannya untuk tidak mengawal perbelanjaan anak-anak dapat mendidik mereka dalam membuat pilihan yang tepat ketika menguruskan kewangan.

“Saya sebenarnya tak kawal juga. Saya nak dia jadi seorang usahawan yang berjaya pada masa hadapan. Jadi dia kena buat keputusan yang bijak.” Ulas Datuk Seri Vida.

Terdahulu, Datuk Seri Vida memuat naik rakaman yang memaparkan perbelanjaan anak-anaknya iaitu Cik B dan Kacak menerusi akaun media sosial TikTok miliknya.

Dalam hantaran itu, Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin mendedahkan dirinya telah berbelanja sebanyak RM1 juta pada bulan Julai lalu.

Rata-rata pengguna media sosial terperanjat dan hairan bagaimana remaja yang baru berusia 18 tahun sudah boleh berbelanja lebih daripada RM1 juta sebulan.

Ramai juga individu yang berseloroh teringin berkawan dengan Cik B dan juga Kacak supaya dapat menumpang kesenangan dinikmati oleh dua remaja tersebut.

Baca juga: Dah tak perlu belah ikan untuk buang isi perut, ini cara siang guna ‘chopstick’ sepantas 5 saat