Jemaah Haji diberikan peringatan untuk tidak keluar dari khemah masing-masing di antara pukul 10 pagi hingga 4 petang semasa berada di Arafah dan Mina selaras arahan dikeluarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Arahan yang mengesyorkan pelaksanaan ‘lockdown’ pada waktu tersebut dikeluarkan kementerian bertujuan untuk mengelakkan risiko strok haba yang boleh mengancam nyawa khususnya melibatkan jemaah haji.
Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun, hal ini ekoran suhu dijangka melonjak melebihi 50 darjah Celsius ketika hari wukuf dan juga semasa berada di Mina seperti berlaku pada musim haji tahun lalu.
Oleh yang demikian, ketua-ketua rombongan haji seluruh negara diminta untuk memberi kerjasama memastikan jemaah masing-masing tidak berada di luar khemas pada waktu tersebut, lapor Sinar Harian.
“Kita telah mendapat arahan daripada kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Haji dan Umrah supaya bekerjasama dengan mereka bagi memastikan jemaah haji tidak berada di luar khemah pada waktu tengah hari bagi mengelakkan berlakunya serangan strok haba.
“Ini adalah kerana dijangkakan cuaca akan menjadi lebih panas seperti tahun lepas. Jadi jemaah haji disarankan supaya sentiasa berada di dalam khemah pada waktu tersebut,” katanya memetik Sinar Harian dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Petugas Haji Bersama Ketua Rombongan Haji.
Jelasnya, arahan itu disampaikan menerusi kumpulan WhatsApp rasmi ketua-ketua rombongan haji seluruh negara dan hasil pertemuan bersama Timbalan Menteri Hal Ehwal Kerjasama Antarabangsa Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Hassan Bin Yahya Al-Manakhrah.
Mohd Hisham juga memaklumkan bahawa jemaah tidak digalakkan pergi ke Masjid al Namirah untuk mendengar Khutbah Arafah sebaliknya disarankan menonton siaran langsung melalui skrin besar tersedia di kawasan khemah.
Ujarnya setakat ini, semua kemudahan frasarana dan infrastruktur untuk jemaah haji di Arafah, Muzdalifah dan Mina telah dapat disediakan lebih awal manakala jemaah yang tidak sihat juga tetap digerakkan untuk berwukuf.
“Dengan cuaca yang semakin panas, menjadi harapan kerajaan Arab Saudi supaya kesihatan dan keselamatan semua jemaah di seluruh dunia dapat dijaga dengan sebaiknya dan tidak terdedah kepada masalah kesihatan terutamanya strok haba.
“(Selain itu) Dengan adanya safari wukuf, mereka akan digerakkan ke Arafah meskipun menggunakan pengusung,” jelasnya mengenai inisiatif Lembaga Tabung Haji (TH) dalam memastikan jemaah digerakkan untuk berwukuf di Arafah walaupun dalam keadaan tidak sihat.
Baca juga: Penangan kerja dari rumah sepanjang sidang ASEAN, warga kota teruja jalan lengang macam hari raya