Penampilan ringkas penyanyi terkenal, Ernie Zakri ketika menerima trofi Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Paling Popular (ABPBH) Ke-37 menjadi di antara topik perbincangan hangat semalam.
Mana tidaknya, pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri itu naik ke pentas mengambil anugerah dengan hanya mengenakan blaus berwarna merah jingga bersama tudung sarung lilit dan sandal.
Penyanyi yang berhasil mencetuskan fenomena sehingga merentasi ke negara jiran dengan kejayaan lagu Masing Masing itu mengakui langsung tidak menjangka dirinya bakal merangkul anugerah berkenaan malam tadi.
Oleh yang demikian, Ernie bercadang untuk pulang lebih awal bagi meraikan kemenangan bersama suami, Syamel dan anak mereka, Nur Khawla Soleha di sebuah restoran selepas menjuarai kategori Penyanyi Wanita Popular.
Malah Ernie juga sudah menukar pakaiannya di hotel dan berada dalam perjalanan ke restoran sebelum dihubungi pihak produksi untuk kembali ke lokasi acara sehingga anugerah terakhir diumumkan, lapor Berita Harian.
“Saya sudah sampai di hotel dan menukar pakaian untuk makan bersama suami dan anak. Kemudian, pihak produksi menghubungi saya untuk datang semula ke acara. Ketika itu saya masih dalam kereta.
“Tersangkut lama pula di lampu isyarat. Jadi, saya ambil keputusan untuk berlari ke lokasi acara. Apabila sampai, saya tidak sangka dapat menang anugerah ini,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Selebriti berusia 33 tahun itu mengungguli takhta dengan meraih 124,448,198 undian sekali gus menewaskan empat finalis Bintang Paling Popular lain iaitu Sweet Qismina, Emma Maembong, Wani Kayrie dan Tracie Sinidol.
Terdahulu, Ernie ketika menerima trofi kelihatan mengah dan tidak mampu mengawal perasaan sebak sehingga terpaksa dipapah oleh dua pengacara ABPBH 37 iaitu Raja Azura dan Shiha Zikir menuju ke tengah pentas.
Selain trofi pewter berbentuk skor muzik dengan ukiran lengkuk bermotifkan ‘reel’ filem seberat satu kilogram (kg) dihasilkan oleh Tumasek Pewter, Ernie turut menerima wang tunai sebanyak RM30,000.
Baca juga: Sissy Imann sah bergelar isteri doktor, nombor plat khas jadi hantaran unik!