Rupanya ini punca keluarga Syamsul Yusof jalin silaturrahim dengan ibu bapa Puteri Sarah

Oleh WAN SITI AMINAH

Keakraban hubungan di antara penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam dan isteri, Datin Patimah Ismail dengan bekas isteri anak mereka iaitu pelakon, Puteri Sarah Liyana memang tidak disangkal lagi.

Memberi inspirasi kepada orang ramai, kemesraan mereka rupanya turut terjalin rapat bersama ibu bapa kepada Puteri Sarah iaitu Paridah Puteh dan suami, Megat Kamaruddin.

Perkara ini dapat dilihat menerusi satu perkongsian gambar yang dimuat naik Datin Patimah memperlihatkan keeratan dua buah keluarga berkenaan di akaun Instagram miliknya, baru-baru.

Berdasarkan hantaran tersebut, mereka ketika itu difahamkan telah meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama di sebuah restoran sempena menyambut bulan Ramadan.

Ibu kepada pengarah sensasi, Syamsul Yusof itu kemudian mendedahkan punca sebenar mengapa silaturahim antara mereka tetap terjalin meskipun Puteri Sarah telah bercerai dengan anaknya.

Turut memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi, Datin Patimah di ruangan kapsyen menjelaskan bahawa zuriat Syamsul bersama Puteri Sarah menjadi faktor utama tali silaturahim itu kekal erat.

Gambar tersebut memaparkan ibu Sarah, Paridah Puteh dan ayahnya, Megat Kamaruddin berada di sebuah restoran untuk berbuka bersama besan mereka.

“Alhamdulillah silaturrahim (ini) kami teruskan demi cucu-cucu tercinta bersama besan yang kami hormati,” tulis ibu kepada empat orang cahaya mata itu di ruangan kapsyen.

Seperti yang dijangka, hantaran ini telah mencuri tumpuan ramai hingga ruangan komen dibanjiri pujian terhadap Patimah dan Yusof Haslam kerana menyayangi Puteri Sarah seperti anak sendiri.

Pelakon drama Andai Itu Takdirnya turut tidak melepaskan peluangnya untuk meninggalkan komen sekaligus menyampaikan rasa sayangnya khusus ditujukan kepada mentua tersayang.

“Sayang awak berdua, mama dan papa,” tulis Puteri Sarah yang juga merupakan seorang ahli perniagaan itu di ruangan komen hantaran tersebut.

“Alhamdulillah contoh terbaik. Anak buat salah tetapi mak bapak tak sokong pun. Menantu yang baik pula akan terus disayangi,” kongsi seorang pengguna media sosial yang terharu dengan sikap Patimah dan Yusof Haslam.

“(Inilah) bukti ada besan yang baik dan penuh kasih. Semoga dirahmati Allah selalu.” Akui pengguna lain yang begitu kagum dengan keakraban Puteri Sarah dengan mentuanya.

Sekadar info, Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 sebelum rasmi bercerai talak satu di bulan Jun, tahun lalu selepas melalui prosiding mahkamah penuh kontroversi.

Hasil perkongsian hidup selama sembilan tahun, mereka berdua telah dikurniakan dengan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 7, dan Summayah yang kini berusia 5 tahun.

Baca juga: Isteri mohon Safee Sali pulangkan 2 anak, rupanya dah lebih sebulan bawa lari