Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kembali mencuri perhatian ramai selepas memuat naik gambar bersama pengasas Jaya Jusco, Takuya Okada.
Difahamkan, Dr Mahathir berkesempatan berjumpa semula dengan Takuya di Tokyo, Jepun, semalam di dalam lawatan pemimpin berusia 99 tahun itu ke negara tersebut.
Menerusi hantaran di akaun X, Dr Mahathir berkata, Jusco yang kini dikenali sebagai AEON adalah antara pusat membeli-belah moden yang terawal dibuka di Malaysia.
Pembukaan pusat beli-belah berkenaan adalah hasil pertemuannya dengan Takuya ketika masih menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1983.
“Sudah banyak kali saya melawat negara Jepun. Kemudian saya mendapati, Jepun mempunyai pusat membeli-belah yang bagus. Pada tahun 1983, saya berjumpa dengan Takuya Okada.
“Beliau adalah salah seorang pengasas pusat beli-belah Jusco atau Japan United Stores Company. Pada waktu itu, terdetik untuk memperkenalkan pusat beli-belajh seperti itu di Malaysia,” dedahnya.
Pihak Jusco kemudian menerima pelawaan kerajaan untuk membantu memodenkan industri peruncitan negara dengan membuka cawangan pertama, Jaya Jusco Dayabumi.
Siapa sangka, pasar raya yang dibuka di ruangan bawah tanah itu berjaya sebelum berkembang dan membangun beberapa pusat membeli-belah di seluruh Malaysia.
“Jusco menerima kejayaan yang sangat besar. Perniagaan mereka mula berkembang dan terus membuka lebih banyak pusat beli-belah di negara ini. Sekarang, Jusco atau lebih dikenali sebagai AEON boleh ditemui hampir di seluruh negara.
“AEON adalah salah satu pusat beli-belah yang berjaya dan mempunyai sumbangan yang besar terhadap industri peruncitan negara. Saya juga berharap agar pelabur dari Jepun akan terus melabur di negara ini,” ulasnya.
Dr. Mahathir turut mendoakan Takuya yang sebaya dengannya itu dikurniakan kesihatan supaya mereka dapat berjumpa semula di Jepun pada masa hadapan.
Sekadar info, Mahathir sebelum ini berangkat ke Jepun bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-29 mengenai Masa Depan Asia di Tokyo.
Baca juga: Bulu burung paling mahal di dunia! Tak sangka, sehelai boleh cecah RM100k