Rupanya selipar jadi punca budak terperangkap 9 jam dalam lif, video CCTV rungkai misteri

Oleh WAN SITI AMINAH

Misteri kejadian melibatkan dua kanak-kanak yang terperangkap di dalam lif selama lebih 9 jam akhirnya terungkai melalui satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Rupa-rupanya, selipar yang menjadi punca dua kanak-kanak terbabit terperangkap, bukan kerana lif terhenti ketika sedang diselenggara seperti dilaporkan sebelum ini.

Berdasarkan rakaman itu, kedua kanak-kanak terbabit masuk ke dalam lif pada jam 2.13 petang, 19 Ogos lalu dipercayai di dalam perjalanan untuk pergi membeli pau.

Lif kemudian berhenti di tingkat tujuh namun tiada orang yang masuk selepas pintu terbuka sebaliknya salah seorang kanak-kanak bertindak menanggalkan seliparnya.

Selipar berwarna biru itu lalu diletakkan oleh kanak-kanak terbabit di antara pintu lif yang sedang ditutup tetapi ketika itu, tiada lagi kejadian tidak diingini berlaku pada mulanya.

Namun ketika mereka berada di tingkat empat, kanak-kanak yang sama bertindak menarik seliparnya semula sehingga menyebabkan lif terus berhenti serta-merta.

@centroybimmers

Isu: BUDAK TERPERANGKAP DALAM LIF laporan kerosakkan daripada pihak lift (fujitec). Lift di blok 59 berjalan dengan baik dan tiada kerosakkan. Akan tetapi DISEBABKAN VANDALISM AKIBAT DARIPADA KANAK-KANAK TERSEBUT MELETAKKAN OBJEK SELIPAR DITENGAH-TENGAH PINTU LIFT MENYEBABKAN SISTEM AUTO LOCK DIAKTIFKAN DAN LIF TERUS BERHENTI. DISINI JUGA DILAMPIRKAN GAMBAR KANAK-KANAK TERSEBUT MEROSAKAN LIFT SEHINGGA TIDAK BERFUNGSI. RUJUKKAN GAMBAR DAN VIDEO DISEDIAKAN SEKALI. TERIMA KASIH.

♬ original sound – Hi-Fi Productions

Menurut penjelasan yang dikongsikan bersama rakaman CCTV itu, lif tersebut dikatakan berfungsi dengan baik sahaja malah tidak berlaku sebarang kerosakan sebelum kejadian.

Lif bagaimanapun terus terhenti secara automatik selepas sistem auto-lock diaktifkan akibat daripada tindakan kanak-kanak itu yang menarik seliparnya dari tengah pintu.

“Laporan kerosakkan daripada pihak penyelenggara lif, Fujitec. Lif di blok 59 didapati berjalan dengan baik dan tiada kerosakkan. Akan tetapi, (kejadian berlaku) akibat daripada tindakan kanak-kanak tersebut meletakkan objek selipar di tengah-tengah lif.

“Tindakan ini menyebabkan sistem auto-lock diaktifkan dan lif terus berhenti. Rujukan gambar dan video kejadian disediakan sekali. Terima kasih,” berikut penjelasan ditulis di ruangan kapsyen video yang ditularkan di beberapa platform termasuk Facebook dan TikTok.

Susulan tularnya rakaman tersebut, timbul pula persoalan baharu dari orang ramai mengenai keberadaan pihak yang sepatutnya mengawasi CCTV hingga mereka tidak menyedari kanak-kanak itu terperangkap di dalam lif.

Terdahulu, kes kehilangan dua kanak-kanak di pangsapuri Desa Petaling, Kuala Lumpur terjawab apabila mereka ditemui selamat selepas terperangkap di dalam lif selama lebih sembilan jam.

Kedua kanak-kanak yang masing-masing berusia 10 dan 11 tahun itu dipercayai keluar dari rumah untuk membeli kuih pau kira-kira pada jam 2 petang, namun didapati belum pulang hingga pukul 7 petang.

Baca juga: Boss Mydin salahkan ‘influencer’ sekarang kerap tayang kekayaan, tak setuju sikap suka menunjuk