Rang Undang-undang baru yang diberikan nama Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (RUU MKN) 2015 dijangka dibahaskan di Parlimen adalah sesuatu yang mengejutkan seluruh rakyat.
Rang Undang-undang ini jika diluluskan akan memberikan kuasa yang luas, arbitrari dan eksklusif kepada Perdana Menteri sebagai Pengerusi Majlis Keselamatan Negara untuk mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai sebuah kawasan keselamatan atau ‘security area’.
Ini dimana pasukan bersenjata termasuk tentera akan mempunyai kuasa penuh ke atas kawasan tersebut dan tiada aktiviti yang boleh dijalankan di kawasan tersebut. Ketika itu, rakyat tidak lagi hidup bebas di mana mereka boleh ditahan dan diperiksa dan rumah mereka juga boleh digeledah.
Keadaan ini jika wujud adalah umpama satu pengisytiharan darurat yang jelas merampas kuasa Yang Di-Pertuan Agong dalam mengisytiharkan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Ia juga bakal meletakkan tentera di bawah arahan Perdana Menteri walaupun kuasa sebenar adalah di bawah Yang Di-Pertuan Agong.
Apakah keperluan undang-undang baru ini sedangkan negara tidak langsung diancam serangan luar? Tidak cukupkah dengan kuasa polis menahan rakyat di bawah SOSMA atau POTA atas alasan ancaman keselamatan negara?
Undang-undang sedia ada pun sudah lebih dari cukup untuk menyekat kebebasan dan hak asasi rakyat dan demokrasi.
Rang Undang-undang ini umpama meletakkan Perdana Menteri sebagai satu kuasa mutlak di dalam negara. Bagaimanakah pendakwaan boleh diambil terhadap beliau jika beliau disiasat melakukan kesalahan tatkala beliau mengambil keputusan menggunakan kuasanya di bawah undang-undang baru ini.
Precedent kes RM2.6 billion sudah cukup menunjukkan bagaimana Perdana Menteri menyalahgunakan kuasa eksekutifnya menukar Peguam Negara sehinggakan siasatan kes tersebut masih tergantung.
Seharusnya kerajaan lebih mementingkan kesan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang bakal mengancam kedaulatan negara jika dilaksanakan. Begitu juga penjualan saham Edra kepada syarikat asing merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara.
Kerajaan tidak seharusnya sibuk melaksanakan undang-undang baru yang tidak penting kepada kehidupan rakyat sedangkan ancaman sebenar kepada keselamatan dan kedaulatan negara dibiarkan berlaku.
Kerajaan seharusnya lebih peka dan pedulikan kehidupan rakyat sekarang yang dibebani dengan kenaikan harga barang, rumah dan kos perkhidmatan pengangkutan awam termasuk tol, komuter dan ERL.
Sudah banyak undang-undang zalim atau ‘draconian laws’ diluluskan di Parlimen kerana ia hanya memerlukan majoriti mudah. Lebih malang lagi terdapat segelintir ahli parlimen pembangkang yang tidak hadir ketika sesi pengundian.
Ketidakseriusan ahli parlimen memahami implikasi bahaya undang-undang baru ini akan mengundang derita yang lebih parah kepada rakyat di mana undang-undang baru ini jika diluluskan bakal menjadikan Perdana Menteri berkuasa seperti diktator.
Justeru, Pemuda AMANAH mendesak agar kerajaan menarik balik rang undang-undang ini.
Sesungguhnya kuasa boleh disalahgunakan, apatah lagi jika kuasa yang mutlak.
FAIZ FADZIL
TIMBALAN KETUA PEMUDA
AMANAH NASIONAL