RUU MKN bukan beri kuasa mutlak pada PM dan parti pemerintah, kata TPM

Oleh MALAYSIADATELINE

Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (RUU MKN) bukan untuk tujuan politik atau memberi kuasa mutlak kepada PM dan parti pemerintah demikian penjelasan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berharap pihak yang sentiasa berpandangan negatif ini melihat bahawa akta itu digubal berdasarkan apa yang berlaku kepada Esscom yang mana kuasa yang ada pada polis bagi penangkapan tidak ada pada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Esscom, atau Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, ditubuhkan pada 1 April 2013 susulan insiden pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah dengan diberi tanggungjawab menyelaras operasi pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Ahmad Zahid berkata dengan adanya Akta MKN ini, ia memberi kuasa untuk menjaga keselamatan bagi kepentingan rakyat keseluruhannya.

“Cukuplah, berikan kerjasama supaya ia tidak dikelirukan, supaya undang-undang yang telah dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat itu dapat diterima sebagai satu hakikat bahawa ia tidak ada tujuan politik tetapi adalah untuk memperkukuhkan penguatkuasaan dari segi menjaga keselamatan rakyat,” katanya.

Beliau turut diminta mengulas saranan seorang pakar perlembagaan agar akta itu memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Dari segi darurat, pengumuman, pengisytiharan dan penggazetan adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong, untuk perintah berkurung pula itu adalah kuasa menteri dalam negeri dan tidak timbul ambil alih kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Ahmad Zahid berkata sebagai contoh, apabila Esscom diwujudkan, ia dibuat secara pentadbiran dan bukan secara perundangan menyebabkan penguatkuasaan sukar dilaksana oleh agensi berkaitan.

“Maka apabila Akta MKN digubal, ia adalah untuk memberikan kuasa kepada mana-mana badan, bukan sahaja Esscom, yang diwujudkan bagi menjaga wilayah tertentu, yang membabitkan bukan hanya kepada Polis Diraja Malaysia tetapi juga jabatan dan agensi penguatkuasaan yang lain untuk melakukan penguatkuasaan bersama.

“Oleh sebab itu, kuasa dalam Akta MKN ini adalah untuk memberikan kuasa pelaksanaan perundangan supaya apabila kes-kes ini dibawa ke mahkamah tidak dicabar oleh peguam, kononnya hak asasi manusia, yang akhirnya dari segi teknikal, boleh menyebabkan kes itu dibuang,” katanya.