Ketika Najib dilihat dalam kedudukan genting akibat pelbagai skandal termasuk krisis dalam Umno melibatkan kumpulan pro Mahathir dan Muhyiddin, Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (RUU MKN) 2015 telah diluluskan jam 10.52 malam tadi melalui undi belah bahagian.
Selepas perbahasan berlarutan lebih lima jam dengan bantahan keras daripada ahli parlimen pembangkang,RUU MKN itu diluluskan tanpa sebarang pindaan dengan 77 undi menolak manakala 107 undi menyokongnya.
Sebelum ini, Pakatan Harapan menggesa supaya kerajaan membatalkan atau menangguhkan kelulusan akta baru itu yang hanya dibentangkan Selasa lalu.
Mereka mendakwa Malaysia dibimbangi akan menjadi ‘negara polis’ jika RUU MKN dengan 15 kuasa khas kepada Pengarah Operasi dan pasukan keselamatan itu diluluskan.
Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan dakwaan itu dengan antara lain berkata, RUUMKN berkenaan bagi menyelaraskan aktiviti risikan memandangkan sebelum ini majlis itu cuma bertindak sebagai badan pentadbir sahaja.
Dilihat banyak pihak turut mempersoalkan perluasan kuasa Perdana Menteri dengan kedudukan Najib sebagai Pengerusi MKN, akta baru itu dikhuatiri cenderung disalahguna terhadap individu atau kumpulan yang menentang kerajaan selain menghakis kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong termasuk kuasa untuk mengisytiharkan keadaan darurat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran dalam kenyataannya sebelum ini berkata, fasal 18 (1) RUU MKN itu akan membolehkan Perdana Menteri untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan di negara ini sebagai ‘kawasan keselamatan’ tanpa menetapkan had kepada saiz kawasan yang boleh diisytiharkan sebagai kawasan keselamatan.
RUU MKN itu memperuntukkan bidang kuasa khas merangkumi penahanan masuk dan pemindahan orang; perintah berkurung; kuasa untuk mengawal pergerakan jalan; kuasa menangkap; kuasa untuk memeriksa dan menyita; kuasa untuk menggeledah premis bagi benda berbahaya; kuasa untuk memeriksa orang bagi benda berbahaya dan kuasa untuk menyita kenderaan, vesel, pesawat udara atau pengangkut.
Antara kuasa khas Pengarah Operasi dan pasukan keselamatan lain ialah mengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih; permintaan bagi sumber; pampasan, kuasa untuk memerintahkan pemusnahan bangunan tertentu yang tidak dihuni; penggunaan kekerasan yang munasabah dan perlu; kuasa untuk mengetepikan inkues dan penyerahan orang yang ditangkap dan benda yang disita kepada polis.
Dalam kuasa khas perintah berkurung, Pengarah Operasi boleh memerintahkan semua orang di dalam kawasan keselamatan atau mana-mana bahagian kawasan keselamatan untuk berada di dalam tempat kediaman atau bangunan antara waktu yang ditentukan dalam perintah yang dikeluarkan oleh pengarah operasi.
Denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya boleh disabitkan terhadap mana-mana individu yang tidak mematuhi perintah berkurung.
Selain itu, RUU berkenaan turut membolehkan anggota pasukan keselamatan tanpa waran menangkap mana-mana orang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis di kawasan keselamatan.
RUU MKN itu juga memperuntukkan keanggotaan MKN terdiri daripada perdana menteri sebagai pengerusi, timbalan perdana menteri sebagai timbalan pengerusi diikuti tiga menteri yang dipertanggungjawab bagi pertahanan, hal ehwal dalam negeri serta komunikasi dan multimedia selain dianggotai Ketua Setiausaha Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara.