Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (RUU MKN) 2015 yang diluluskan Dewan Negara pada 22 Disember lalu,tidak harus disalah erti sebagai satu tindakan membelakangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong,kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kounter Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Beliau berkata, RUU MKN akan melengkapkan undang-undang sedia ada dalam konteks menangani ancaman keganasan.
Penggubalan akta itu akan melengkapkan lagi undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 2013 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota).
“Namun, saya ingin tegaskan bahawa RUU MKN 2015 tidak harus disalah erti sebagai satu tindakan membelakangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada Bernama.
Tegasnya, orang ramai harus faham bahawa RUU MKN 2015 membolehkan Perdana Menteri untuk mengisytiharkan lokasi tertentu sebagai kawasan keselamatan.
“Sebagai contoh, ia membolehkan Perdana Menteri untuk mengisytiharkan kawasan keselamatan di KLCC sekiranya ada berlaku insiden keganasan di sana,” katanya.
Ayob berkata, RUU MKN 2015 amat berbeza daripada pengisytiharan darurat yang terletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata, Perdana Menteri mempunyai kuasa menggunakan RUU MKN 2015 di sesuatu kawasan keselamatan yang memudahkan anggota keselamatan mengambil tindakan pencegahan dengan pantas.
Pada 22 Disember lepas, Dewan Negara meluluskan RUU MKN 2015 yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan negara.
RUU MKN 2015 itu memperuntukkan bidang kuasa khas, antaranya penahanan masuk dan pemindahan orang, perintah berkurung, kuasa untuk mengawal pergerakan jalan, kuasa menangkap dan kuasa menyita kenderaan, vesel, pesawat udara atau pengangkut.