RUU Pindaan MA63 akan dibentang hujung Oktober ini

Oleh KIM SYAZIE

Rang Undang-undang (RUU) bagi meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan peruntukan tertentu yang relevan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dibentangkan di Parlimen pada akhir Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, berdasarkan garis masa kementerian, beliau berharap pembacaan RUU pertama dapat dilakukan pada 26 Oktober diikuti dengan bacaan kedua pada 28 Oktober ini.

Katanya, sementara Dewan Peguam Negara (AGC) kini sedang mengkaji peruntukan undang-undang, Kementerian beliau pula telah memulakan tugas untuk menjelaskan mengenai perkara tersebut kepada pihak berkepentingan utama termasuk Ahli Parlimen, pemimpin Sabah dan Sarawak serta Peguam Negara di kedua-dua negeri tersebut.

“Sehingga kini, inisiatif itu mendapat sokongan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor. Dan beliau akan bertemu dengan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk membincangkan secara rasmi mengenai perkara itu, tidak lama lagi,” katanya menerusi satu kenyataan di Kuching.

Wan Junaidi mensasarkan mengadakan Mesyuarat Khas MA63 yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada 21 Oktober ini.

Jelasnya lagi, satu kertas khas mengenai MA63 akan disampaikan oleh Perdana Menteri kepada Anggota Kabinet pada 22 Oktober.

“Pindaan perundangan terhadap Perlembagaan Persekutuan sangat penting kerana ia akan memberikan penjelasan mengenai kedudukan Sabah dan Sarawak serta rakyat terutamanya penduduk asli Sabah dan Sarawak.

Justeru, beliau berharap dapat memperbetulkan kedudukan berkenaan dengan mengubah beberapa peruntukan kritikal dalam Perlembagaan Persekutuan yang ada sekarang.