Safwan Nazri terkejut dengar harga baju dan beg Cik B, lebih mahal dari Honda City!

Oleh WAN SITI AMINAH

Pempengaruh yang juga anak kepada jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida iaitu Cik B mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas tampil sebagai tetamu di dalam program audio siar atau podcast ‘Sembang Seram’.

Namun perkara yang lebih menjadi tumpuan bukan kisah seram dikongsikan oleh gadis berusia 20 tahun berkenaan sebaliknya pendedahan mengenai harga pakaian serta aksesori digayakannya ketika itu.

Perkara itu didedahkan oleh Cik B selepas ditanya pelakon selaku pengendali program podcast tersebut iaitu Safwan Nazri yang terlihat cukup terkejut ketika mendengar kos dibelanjakan untuk membeli pakaian dan aksesorinya.

Mana tidaknya Cik B ataupun nama sebenarnya, Edlynn Zamileen Muhammad Amin bukan sahaja mengeluarkan kos ribuan ringgit hanya untuk membeli pakaian malah turut memiliki beg tangan yang berharga RM80,000.

“Baju ‘hoodie’ harganya RM8,000, kemeja-T pula dalam RM4,000. Tetapi orang semua tahulah yang saya memang peminat Balenciaga sebab logo ‘B’. Banyak pasang saya ada, tak terkira sampai kawan sempat mencuri baju.

“Harga cincin dalam RM2,000 sahaja. Jenama Gucci pula harganya dalam RM1,500. Beg tangan pula, saya banyak pakai jenama Louis Vuitton dan Chanel. Tetapi sekarang saya pakai beg Birkin. Beg jenama Hermes itu harganya RM80,000.

“Mak saya cakap kalau nak tahu orang itu setia atau tidak, dia akan pakai beg tangan satu sahaja dan tidak tukar. Itu apa yang mak saya cakaplah,” kata Cik B dalam program tersebut menjawab soalan daripada Safwan.

Sedutan rakaman program yang boleh ditonton menerusi saluran Youtube itu turut dikongsikan di platform TikTok dan mengundang perbincangan ramai sehingga berjaya meraih tiga juta tontonan.

Malah Safwan dalam rakaman tersebut turut memberikan reaksi wajah terkejut selepas mendengar pendedahan Cik B sebelum berkongsi pengalaman peribadinya sendiri ketika membeli barangan berjenama.

“Patutlah setia, beg dia berharga RM80,000. Lebih mahal dari harga kereta Honda City. Kalau kita, harga beg baru RM40 atau RM50 sahaja. Paling mahal sekali pun RM390. Jadinya memang tak setialah.

“Saya kalau nak beli barang Balenciaga, 40 kali fikir. Tidak mengapalah, disebabkan sudah bekerja penat-penat. Jadi saya pun belilah sepasang kasut. Selepas itu, barulah saya merasa berat sebab isteri minta beg tangan pula.

“Kalau nak tahu, Cik B datang podcast ini. Harga barang-barang dia sama dengan harga kamera yang ada di sini.” Ujar Safwan Nazri dalam rakaman berdurasi tiga minit 45 saat itu.

Baca juga: Wanita kecewa bank tak bantu kes duit RM1k tersalah pindah, dua minggu tunggu duit tak dipulang