Sah hingga 1 April 2029, Ustaz Don terima tauliah mengajar agama di negeri Perak

Oleh MALAYSIADATELINE

Nama pendakwah selebriti, Ustaz Don masih tersenarai sebagai salah seorang daripada pemegang tauliah mengajar agama Islam di negeri Perak sehingga 1 April 2029.

Pemilik nama sebenar Don Daniyal Don Biyajid itu adalah antara 104 individu di dalam kategori individu berasal dari luar Perak yang memegang tauliah tersebut bagi tempoh sah bermula 2 April 2024 hingga 1 April 2029.

Perkara itu diumumkan oleh pihak Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerusi edaran surat makluman berhubung Senarai Pemegang Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perak, lapor Berita Harian.

Berdasarkan edaran yang dikongsikan menerusi akaun Facebook Bahagian Pengurusan Masjid JAIPk itu, anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang berkenaan masih tersenarai sebagai pemegang tauliah.

Selain Ustaz Don, pendakwah terkenal lain yang turut menerima tauliah sama adalah Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al- Hamid, Asma’ Harun, Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim dan Engku Ahmad Fadzil Engku Ali.

Pendakwah lain termasuk Harryanto Rizal Rokman, Haslin Baharim, Mohamad Wadi Annuar Ayub, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, Syed Abdul Kadir Syed Hussin Aljoofre dan Ahmad Fauwaz Ali @ Fadzil juga tersenarai dalam edaran tersebut.

Manakala untuk kategori pemegang tauliah mengajar agama bagi luar negara, terdapat 14 individu tersenarai bagi tempoh sah sama antaranya pendakwah terkenal dari Indonesia, Abdul Somad Batubara atau Ustaz Abdul Somad dan Muhammad Idrus Ramli.

Tauliah itu juga diberikan kepada beberapa individu berjawatan antaranya Datuk Dr Mohd Sukki Othman, Datuk Dr Muhammad Ayman Al-Akiti, Datuk Dr Muhammad Afifi Al-Akiti, Datuk Dr Zahazan Mohamed dan Dr Zamihan Mat Zin.

Baca juga: Tak payah dah ikut ‘office hour’ untuk berurusan dengan kerajaan, guna je Kiosk Sentuhan MADANI ini