Saham RHB Bank meningkat dalam dagangan awal

Oleh MALAYSIADATELINE

Saham RHB Bank Bhd meningkat dalam dagangan awal hari ini selepas mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh berakhir 31 Dis, 2018.

Sehingga 10.16 pagi, harga saham bank itu melonjak 12 sen kepada RM5.71, dengan 756,400 unit bertukar tangan.

Keuntungan bersih bank itu naik kepada RM2.31 bilion pada tahun kewangan 2018, meningkat 18.2 peratus daripada RM1.95 bilion tahun ke tahun, sebahagian besarnya didorong oleh pendapatan berasaskan dana bersih dan berasaskan bukan dana yang lebih tinggi serta elaun yang lebih rendah untuk kerugian kredit ke atas pinjaman dan aset lain, sebahagiannya diimbangi oleh overhed yang lebih tinggi.

Perolehan meningkat kepada RM12.69 bilion berbanding RM11.87 bilion, manakala pendapatan asas sesaham naik kepada 57.49 sen daripada 48.63 sen.

Maybank Investment Bank menaikkan saranan RHB Bank kepada ‘beli’ daripada ‘pegang’ berdasarkan prospek yang lebih baik dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM6.70.

“Unjuran kami nisbah pembayaran dividen sebanyak 40 peratus, yang kami berpendapat munasabah, berdasarkan kedudukan modal kumpulan itu yang kukuh, dan ini membawa kepada anggaran hasil tahun kewangan 2019 sebanyak 4.3 peratus,” katanya dalam nota hari ini.

— BERNAMA