Saiful Apek tidak ditahan, polis datang lerai pertelingkahan berkait filem 6 Jilake

Oleh MALAYSIADATELINE

Pelawak terkenal, Saiful Apek tidak menafikan bahawa dirinya adalah salah seorang individu dalam gambar tular yang kononnya memaparkan penahanannya oleh pihak berkuasa di lokasi kejadian tidak didedahkan.

Namun selebriti berusia 56 tahun itu menyangkal dirinya ditahan sebaliknya gambar tersebut diambil ketika pihak polis sedang meleraikan pertelingkahan membabitkannya dengan seorang individu tidak dikenali.

Dedah Apek, pertelingkahan antara mereka mula tercetus selepas individu berkenaan bertindak memperlekehkan filem lakonannya, 6 Jilake dan juga pengarahnya iaitu Aziz M Osman, lapor Berita Harian.

Situasi sebenar berhubung insiden itu didedahkan sendiri oleh Apek ketika ditemui oleh pihak media dalam majlis rumah terbuka MStar Terbaek Raya yang diadakan di The Agam, Kuala Lumpur.

“Individu di dalam foto berkenaan memang saya. Cuma situasi sebenarnya saya bukan ditahan, tetapi sebaliknya polis sedang meleraikan salah faham. Saya nampak sahaja macam bergaduh, tetapi tidak.

“Apa yang membuatkan saya terusik apabila individu berkenaan sebut nama Abang Aziz dan mendakwa filem 6 Jilake sebagai sampah. Kalau setakat sebut nama saya, masih boleh kawal lagi.

“Tetapi ini membabitkan individu (Aziz) yang saya anggap sebagai sifu,” kata pelawak terbabit yang memaklumkan dirinya sebenarnya telah beredar daripada lokasi kejadian ketika diprovokasi oleh individu tidak dikenali itu.

Individu terbabit bagaimanapun bertindak meneruskan provokasi terhadap pelawak itu sehingga ke tempat letak kenderaan sebelum pihak polis akhirnya datang untuk meleraikan pertelingkahan antara mereka.

Lebih mengejutkan, Apek turut mendedahkan bahawa kejadian berlaku ketika dirinya menghadiri majlis rumah terbuka yang dianjurkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain di Cheras baru-baru ini.

“Ketika kejadian, saya hadir ke rumah terbuka Ketua Polis Negara. Tiba-tiba ada individu yang tak dikenali membuat provokasi mengenai filem 6 Jilake sehingga saya hilang sabar.

“Saya bangun dan beredar kerana tidak mahu mengganggu majlis. Ingatkan habis di situ. Tetapi individu berkenaan masih melakukan provokasi hingga ke parkir kereta sehingga polis datang meleraikan pertelingkahan kami,” ujarnya.

Apek juga mengambil peluang ini untuk memohon maaf kepada keluarga dan sahabat kerana turut terpalit dalam kontroversi ini sehingga mencetuskan kerisauan terutama kepada Azlee Senario yang menghidap penyakit jantung.

Sehubungan dengan itu, Apek berharap kenyataannya ini dapat memberi penjelasan berhubung insiden berkenaan kepada orang ramai termasuk ahli keluarga dan sahabat yang terkejut dengan dakwaan penahanannya.

“Cuma, apa perkara paling saya risau apabila ramai yang menghubungi anggota Senario terutamanya Azlee Jaafar yang kita tahu mempunyai masalah jantung.” Ujar pelawak itu.

Baca juga: Betul lah Saiful Apek ditahan, tuan badan dedah puncanya