Pada jam petang Jumaat, jenazahnya dituntut oleh keluarga keluar daripada hospital dan akan dikebumikan tanah perkuburan Raudhatul Sakinah di Taman Selaseh 2. Semoga syurgalah anak muda ini akhirnya nanti. Itulah doa kita buat Andheer Lazuardi, Ketua Pemuda AMANAH Kawasan Batu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Mesej terakhir beliau kepada rakan-rakannya di Batu ialah ‘sedih sebab dah tak dapat bantu orang lagi’. Beberapa hari selepas itu, demam beliau tidak kebah hingga membawa kepada kematiannya. Beliau meninggal dunia di rumah keluarganya di Greenwood akibat Covid 19. Beliau mengasaskan Pertubuhan Bakti Nusantara yang memberi khidmat kemasyarakatan di Wilayah Persekutuan khususnya di kawasan Batu.
Secara peribadi saya tidak mengenali rapat dengan arwah. Hanya selepas beliau meninggal dunia, Namanya disebut-sebut. Begitulah adat manusia. Sudah tiada, baru dikenang-kenang. Arwah biasa berada dalam program-program parti dan arwah mudah dikenali di celah-celah orang ramai kerana susuk tubuhnya yang besar.
Beliau adalah pengasas dan juga Ketua Pemuda AMANAH kawasan Batu. Sebelum ini, beliau adalah Naib Ketua Pemuda Umno bahagian Batu. Beliau menyertai politik dari peringkat bawah sebagai Setiausaha Kerja Pemuda Umno Batu. Meski beliau turut ditawarkan untuk menyertai Bersatu namun beliau sudah nekad beliau untuk keluar daripada budaya politik Umno. Baginya tidak banyak beza antara Bersatu dengan Umno terutama dalam soal politik wang.
Penyertaan beliau ke dalam AMANAH memberi suntikan ke kawasan Batu. Aktivismenya tentang kebajikan masyarakat semasa dalam Pemuda Umno diteruskan di dalam AMANAH. Karisma kepimpinannya terserlah semasa beliau mengendalikan program-program kebajikan dan bermesyuarat dengannya.
Penyertaannya ke dalam AMANAH tidak sekadar membawa batang tubuhnya sahaja. Bahkan lebih seratus orang yang mengikuti langkahnya untuk menyertai AMANAH. Antara program awal beliau dalam AMANAH adalah kelas pengajian hari Isnin malam Selasa yang dibuat di pejabatnya. Apabila penyertaan bertambah, kelas tersebut berpindah ke Madrasah Tarbiyah, surau Cikgu Ishak Surin di Padang Balang, Gombak. Cikgu Ishak Surin yang membawa anak muda ini menyertai AMANAH.
Sebagai orang yang sudah lama berada dalam Umno, beliau dapat merasakan perbezaan kepimpinan antara kedua-dua parti. Semasa di dalam Umno Batu yang mempunyai 54 cawangan, Andheer aktif dan turun ke padang menemui kekuatan akar umbi yang kebanyakannya orang Melayu bandar. Berpolitik di kawasan Melayu bandar seperti di sekitar Kampung Padang Balang, Kampung Bandar Dalam, Kampung Chubadak Tambahan, Gombak, Greenwood dan sekitarnya. Kebanyakan penduduk merupakan peneroka bandar pada awal-awal 60an.
Sebulan ini saya menulis tiga individu yang saya kenal yang telah meninggal dunia dalam Malaysia Dateline. Pertama, ibu saudara saya, Wak Imah. Kedua, pengasas Nasyid.com dan kali ini seorang anak muda, anak asal Kuala Lumpur, Andheer Lazuardi.
Di samping itu, saya juga mendengar ratusan nama-nama yang menjadi korban Covid 19. Nama dan angka ini bukanlah rekaan tetapi realiti yang akan kita hadapi hadapan ini. Apakah kita sekadar mencatat dan mengeluh?
Pemergian Andheer Lazuardi sebenarnya menyusuli laluan yang dilalui oleh rakyat Malaysia. Semalam 23 Julai, angka jangkitan Covid 19 mencatatkan angka paling tinggi sepanjang sejarah kesihatan negara iaitu 15573 dengan kematian sebanyak 177 mangsa. Ini menjadikan jumlah keseluruhan korban Covid 19 ialah 7718 setakat ini. Benarkah kata Stalin, ‘sejuta korban adalah suatu statistik.’
Allahyarham Andheer Lazuardi meninggal dalam hari Tashrik, semangat korban masih membara. Saya nukilkan sebuah puisi daripada pemergian allahyarham kepada Sang Pencipta. Pada hari-hari takbir dilaungkan. Pada hari-hari memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim AS sebagai suami, bapa dan pemimpin kaumnya di zaman tersebut.
Pada hari ini, kita sedang mencari Ibrahim. Kerana itu, sajak ini diberi tajuk ‘Sajak Buat Ibrahim’.
Sajak Buat Ibrahim
Ya Ibrahim,
bukankan telah kamu balut tubuh kamu dengan kain putih.
Mengapa kamu pamerkan hitam hati kamu?
Ya Ibrahim,
bukankah Tuhan memerintahkan kamu berhimpun di padang kering kontang itu.
Mengapa kamu kumpulkan kami di dalam kurungan ini?
Ya Ibrahim,
bukankah Tuhan telah temukan kamu dengan sang pencinta
Mengapa rakan kami yang kamu lupakan?
Ya Ibrahim,
bukankah Tuhan memerintahkan kamu untuk korbankan Ismailmu.
Mengapa rakan kami yang kamu pertaruhkan?
Ya Ibrahim,
bukankah tangan dan jari kamu merejam batu ke syaitan.
Mengapa rakan kami yang kamu lukakan?
Ya Ibrahim,
bukankah Tuhan telah merdekakan kamu.
Mengapa kami yang kau kerandakan?
Mengapa ya Ibrahim?
Muhaimin Sulam
10 Zulhijjah 1422