Sajat luah hasrat mahu tunai umrah lagi, akan berpenampilan sebagai lelaki kali ini

Oleh WAN SITI AMINAH

Usahawan dan personaliti media sosial, Nur Sajat baru-baru ini meluahkan hasrat untuk menjejakkan kaki sekali lagi ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah umrah pada tahun hadapan.

Walau bagaimanapun untuk kali ini, Sajat berhasrat mahu melaksanakan ibadah tersebut selaras dengan panduan yang telah ditetapkan iaitu berpakaian seperti lelaki sesuai jantina sebenarnya.

Pemilik nama sebenar Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman itu mengakui bahawa hasrat untuk menunaikan umrah timbul kerana merasakan tahun ini merupakan detik yang paling gembira buat dirinya.

Perkara itu diakui Sajat menerusi satu sesi siaran langsung yang diadakan di akaun TikTok miliknya sebelum dirakam oleh salah seorang penonton dan dimuat naik semula di platform berkenaan.

“Insya-Allah, saya akan pergi menunaikan umrah lagi pada tahun hadapan. Kali ini, saya akan berpakaian lelaki. Tidak kisahlah rambut panjang sekalipun,” kata Sajat di dalam siaran langsung tersebut.

Sajat yang kini menetap di Sydney, Australia itu juga ingin memperbetulkan kesilapan lalu selain tidak mahu lagi mengulangi tindakan mencetuskan kontroversi seperti lima tahun lalu.

Usahawan berusia 40 tahun terbabit pernah mencetuskan kontroversi sebelum ini kerana berpakaian seperti wanita semasa mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah.

“Kita belajar dengan apa yang berlaku pada waktu lepas. Kita tak mahu perkara itu terjadi lagi. Saya tak akan buat benda yang orang akan marah. Sebab satu sahaja yang keluarga saya pernah cakap.

“Apa sahaja pun yang terjadi, jangan pernah terfikir tukar agama.” Tambah usahawan itu lagi ketika meluahkan keinsafannya bersama para penonton yang menonton sesi tersebut.

Terdahulu, tindakan Sajat ketika menunaikan umrah sekitar tahun 2020 telah menimbulkan kemarahan umat Islam di Malaysia dan turut mendapat perhatian Menteri Agama kerana didakwa telah mencemarkan imej Islam.

Baca juga: Bolehkah kita kutip sumbangan untuk buat program ‘wakaf makanan’? Apa hukum sebenarnya?