Sajat sebak akhirnya bertemu dengan anak lepas 4 tahun terpisah, jejak kasih di Singapura

Oleh WAN SITI AMINAH

Usahawan sensasi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman tidak dapat menahan sebak apabila bertemu dengan dua anak angkatnya selepas terpisah selama empat tahun.

Pertemuan meruntun hati yang dipercayai berlaku di negara seberang tambak iaitu Singapura itu diceritakan semula oleh usahawan terbabit dalam sesi siaran langsung.

Ahli perniagaan yang lebih mesra disapa Nur Sajat itu mengakui air matanya menitik sebaik melihat kelibat anak-anak angkatnya dikenali sebagai Syahmi dan Syaza itu.

Sajat dalam nada sebak turut berkongsi perasaan gembira apabila akhirnya kembali bertemu dengan anak-anak yang ditinggalkannya ketika mereka berusia lima tahun.

“Tahu tak, anak-anak boleh terperanjat apabila tengok Sajat. Semasa saya sergah, wajah mereka seakan tak menyangka bahawa Sajat akan berjumpa dengan mereka.

“Mestilah sedih. Apabila nampak sahaja mereka, saya menangis. Saya meninggalkan anak-anak semasa umur mereka lima tahun. Sekarang umur mereka sembilan tahun.

“Hanya tuhan sahaja tahu gembiranya saya apabila tengok anak. Saya seorang ibu yang juga seorang ayah yang menjaga dua orang anak. Saya memanglah jahil dan teruk. Tetapi saya ada sifat kemanusiaan dan sifat seorang ibu,” katanya.

Sesi siaran langsung menerusi akaun media sosial milik usahawan terbabit kemudian dirakam oleh seorang pengguna yang memuat naik rakaman itu di platform TikTok.

Usahawan berusia 39 tahun itu kemudian tampak mendukung anak perempuannya sambil mengimbas kembali peristiwa ketika mereka terpisah empat tahun yang lalu.

“Adik ingat tak percakapan kita buat kali terakhir? Umi cakap, ‘Adik, Umi sudah nak pergi ini’. Selepas itu adik menangis dan berkata, ‘Umi jangan pergi.’ Pagi itu Umi kejut adik dengan abang sahaja,” ujarnya kepada kanak-kanak itu.

Sekadar info, Sajat kini tinggal di Australia selepas pihak penguatkuasa Malaysia memburunya di atas beberapa kesalahan syariah yang pernah dilakukan di negara ini.

Usahawan itu juga pernah didakwa atas dua pertuduhan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana berpakaian seperti wanita dan memuat naik gambar yang tidak sopan di laman sosial Instagram miliknya.

Baca juga: “Penerbit lebih suka TikToker” – Raja Azrey dedah nama ditolak stesen TV sejak 7 tahun lalu