Usahawan kontroversi, Nur Sajat Kamaruzzaman akan menyertai pertandingan ratu cantik mak nyah Miss Mardi Gras 2024 di Australia, hari ini.
Miss Mardi Gras adalah pertandingan ratu cantik transgender yang dianjurkan setiap tahun.
Pempengaruh media sosial itu dalam hantaran di Instagram berkata, dia akan memperagakan busana buatannya dalam pertandingan tersebut.
“Pakaian kebangsaan saya…sudah 60 peratus siap.
“Diilhamkan daripada kerajaan Melayu Langkasuka Kedah,” katanya.
Langkasuka adalah kerajaan Melayu kuno di utara semenanjung Malaysia dan selatan Thailand.
Kelihatan di dalam gambar itu, pakaian batik itu dihiasi selendang berwarna keemasan dan turut diserikan lagi dengan pemeleh (mahkota) besar di kepalanya.
Pusingan akhir acara itu akan berlangsung esok dan pemenang akan dibawa berarak pada minggu berikutnya sempena sambutan Mardi Gras, Sydney.
Pada Feb 2022, Sajat memaklumkan telah menukar status jantina kepada wanita di Australia, setelah bertahun-tahun mendakwa seorang khunsa.
Dia melarikan diri ke Australia bagi mengelak pertuduhan atas kesalahan syariah kerana berpakaian seperti wanita.
Dia didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 atas tuduhan menghina atau sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada majlis bacaan Yasin dan solat hajat pada 23 Februari 2018 di premis kecantikannya, di Seksyen 16, Shah Alam.
Baca juga: Ini rupanya resipi ayam goreng dekat gerai, rangup di luar tapi ‘juicy’ di dalam