Kemalangan tragis di simpang lampu isyarat di Matahari Height, Persiaran Senawang 1 di Seremban pada malam Khamis lalu masih menjadi topik perbincangan hangat di pelbagai platform media sosial sehingga kini.
Mana tidaknya, kemalangan itu telah mengorbankan dua mangsa yang merupakan remaja berusia 15 dan 16 tahun selepas motosikal dinaiki mereka dikatakan dirempuh oleh sebuah kereta jenis Honda Jazz.
Kemudian tular pula beberapa perkongsian dimuat naik oleh seorang wanita dipercayai kakak kepada pemandu Honda Jazz yang mahukan keadilan buat adiknya selain berkongsi gambar lelaki itu sedang dirawat di hospital.
Perkongsian itu malah mengundang rasa kurang senang orang ramai terhadap wanita terbabit termasuklah saksi kejadian yang akhirnya tampil mendedahkan situasi sebenar sebelum kemalangan tersebut berlaku.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di laman TikTok, saksi kemalangan dikenali yang sebagai Edy Noor Reduan itu mengakui berada di bahagian hadapan di simpang lampu isyarat ketika insiden tragis tersebut berlaku.
“Katanya nak tuntut keadilan buat adiknya? Maaf kerana saya lambat tampil. Tetapi saya bersedia jadi saksi sebab nampak segala-segalanya termasuk kelajuan, dentuman, letupan, kebakaran dan sebagainya.
“Saya berada paling depan di lampu isyarat itu. Kejadian berlaku di hadapan mata. Saya nampak dan menjadi saksi macam mana penunggang motosikal itu betul-betul ikut undang-undang.
“Saya nampak selepas lampu hijau, barulah motosikal itu keluar sebelum dilanggar dengan dentuman yang sangat kuat, meletup dan diikuti dengan laungan ‘Allahuakbar’ oleh orang sekitar,” katanya dalam perkongsian itu.
Dalam perkongsian yang sama, saksi kemalangan terbabit turut memberi teguran terhadap kakak pemandu Honda Jazz berkenaan kerana didakwa memuat naik hantaran yang tidak sensitif di media sosial.
Lelaki itu juga sempat memohon maaf berikutan lambat tampil menceritakan kejadian sebenar ekoran masih lagi trauma akibat kejadian tersebut selain teringat keadaan jasad mangsa selepas pelanggaran berlaku.
“Saya cuma nak jadi saksi dan beritahu yang motor keluar simpang itu tak salah langsung. Jadi kepada kakak yang langgar (pelaku) itu, janganlah cerita soal takdir dan ujian. Adik kau yang langgar. Aku nampak depan mata.
“Dia langgar lampu merah walaupun ia sudah bertukar beberapa saat. Dia langgar. Kereta dibawa dengan sangat laju malahan nyawa aku sendiri juga hampir melayang,” kongsi lelaki itu lagi.
Difahamkan di dalam kemalangan tersebut, satu letupan telah berlaku akibat daripada pelanggaran itu sehingga menyebabkan motosikal mangsa terbakar manakala kereta Honda Jazz pula melanggar pokok.
Terdahulu, berlaku satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta Honda Jazz serta dua motosikal jenis Modenas Kriss dan Honda Vario pada malam Khamis sekitar pukul 8.30 malam.
Kenderaan dipandu oleh seorang lelaki berusia 18 tahun bersama seorang penumpang itu sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke Paroi namun gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah.
Kereta Honda Jazz itu kemudian dilaporkan merempuh dua motosikal yang datang dari arah sebelah kiri hingga menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal Modenas Kriss mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa yang maut adalah Muhammad Aidil Ramdan, 15, dan Muhammad Aswari Lotpi, 16, manakala pemandu dan penumpang kereta Honda Jazz serta penunggang dan pembonceng motosikal jenis Honda Vario mengalami cedera parah.
Kesemua yang terlibat dikejar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk menerima rawatan dan pemandu Honda Jazz berkenaan dilaporkan masih berada di dalam unit rawatan rapi (ICU).
Baca juga: Pasangan India ini cuba berpuasa buat pertama kali tuai pujian ramai