Saksi temui RM44 juta wang di pejabat, kereta dan rumah bekas Pengarah Jabatan Air Sabah! Ini fakta kes anda perlu tahu

Oleh KIM SYAZIE

Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu diberitahu bahawa wang tunai lebih RM44 juta ditemui di pejabat dan rumah bekas Pengarah Jabatan Air Sabah (JANS), Ag Mohd Tahir Mohd Talib.

Perkara itu didedahkan saksi yang juga ketua pasukan serbuan nombor lapan, Hishammudin Mohammed Esa, 49, semasa pemeriksaan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Mahadi Abdul Jumaat.

Hishammudin yang menyerbu rumah Tahir berkata, wang tunai sebanyak RM23 juta ditemui di pantri pejabat, termasuk RM62,500 dalam beg Tahir ketika pejabatnya diserbu pada 4 Oktober 2016.

Beliau turut memberi keterangan bahawa setiap bungkusan wang antara RM50,000 dan RM100,000 dan hanya Ag Tahir yang mempunyai akses ke bilik pantri di pejabatnya.

Bilik pantri itu adalah bilik dengan papan tanda “Go Away” di pintunya di mana timbunan wang tunai ditemui dan dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Wang tunai turut ditemui di meja, sofa, kabinet televisyen dan sebuah kabinet kayu dalam pejabat, manakala RM8 juta wang tunai dijumpai di rumah Tahir, bersama 86 utas jam tangan mewah dan 921 barang kemas.

Kira-kira RM9 juta ditemui dalam sebuah Mazda dan RM4 juta dalam Mercedes Benz, katanya kepada mahkamah.

Tahir, 58, sedang dibicarakan bersama isterinya, Fauziah Piut, 55, dan bekas timbalan pengarah JANS, Lim Lam Beng, 66. Mereka mengaku tidak bersalah terhadap 37 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM61.57 juta.

Perbicaraan bersambung 25 Julai ini.

Baca juga: Minta pelanggan bayar ‘online’, peniaga pasrah tinggalkan lemang jualan tanpa penjaga