Salah faham isu tembikai madu ‘percuma’, peniaga tanggung rugi hampir RM3k

Oleh MAISARAH AISYA

Bulan puasa ini kalau ada orang nak tawarkan makanan percuma maka ramailah yang sanggup datang dari jauh semata-mata demi mendapatkan ia.

Akibat salah faham mengenai pemberian tembikai madu secara percuma, peniaga di Jalan Sultan Azlan Shah terpaksa menanggung kerugian hampir RM3,000

Kejadian tersebut juga tular di media sosial selepas pengunjung meluahkan rasa kesal dengan informasi palsu berkenaan lapor Berita Harian.

Peniaga berusia 40 tahun, Mohd Musdi Mustafa Kamal mengesahkan kejadian tular itu berlaku di gerainya yang baru dibuka seminggu sebelum Ramadan.

Mohd Musdi mendakwa dia dihubungi individu yang tinggal di Seberang Perai mahu menginfak tembikai madu kepada orang ramai.

“Lelaki itu mendakwa pemberian terbabit mahu dilakukan pada jam 4 petang 1 Ramadan, tetapi sebelum itu dia meminta saya buat video hebahan dan hantar kepadanya.

“Saya mengakui kesilapan saya yang tidak bertanyakan dengan lanjut jumlah yang mahu diinfak itu dan terus buat video untuk dihebahkan di media sosial malam kelmarin.

“Selepas ia tular, saya dimaklumkan pekerja gerai bahawa sudah ada pengunjung yang berbaris sejak jam 2 petang bagi menuntut tembikai madu itu ‘secara percuma’,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Kekecohan dikatakan bermula selepas pekerjanya memaklumkan individu berkenaan hanya mahu menginfak RM200.

Disebabkan itu dia membuat keputusan untuk beri tembikai yang sepatutnya dijual kepada mereka yang hadir.

“Lebih 400kg tembikai madu untuk jualan terpaksa diberi kepada pengunjung, namun tidak mengapa saya sudah ikhlaskan dan anggap ia sebagai sedekah.

“Saya tidak sampai hati membiarkan mereka pulang dengan tangan kosong kerana ada yang sanggup berjalan kaki sejauh lebih satu kilometer ke gerai ketika cuaca panas terik.

“Kami terima kecaman dan makian daripada orang ramai yang mendakwa kami menipu. Mujur ada juga antara mereka yang faham dengan situasi itu,” katanya lagi.

Jelasnya dia akan lebih berhati-hati selepas ini dan akan bertanya jumlah infak sebelum memuat naik sebarang info di media sosial.