Datuk Seri Mohd Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta kira-kira jam 1.50 petang tadidi mana beliau akan menghadapi 25 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa AS$681 juta (RM2.6 bilion) yang didakwanya sebagai derma daripada kerabat Raja Arab Saudi pada 2013.
Tidak seperti pertama kali bekas perdana menteri itu didakwa hari ini keadaan di luar kompleks utama mahkamah tenang, dengan segelintir penyokongnya kelihatan.
Najib kelihatan muncul dengan tenang ketika diiringi pihak berkuasa masuk ke Komplek Mahkamah dengan tersenyum dan melambai-lambaikan tangannya kepada wartawan seketika.
Polis dalam satu kenyataan sebelum ini menyatakan Najib bakal menghadapi 21 pertuduhan kerana pelbagai kesalahan pengubahan wang haram manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka membawa empat saksi ke atas sejumlah wang yang dimasukkan ke dalam akaunnya sebelum Pilihan Raya 2013.
Daripada 21 pertuduhan yang dikemukakan oleh polis, 9 adalah atas pertuduhan pengubahan wang haram, 5 lagi untuk mendapat keuntungan dan 7 untuk pemindahan dana haram ke entiti lain.
Penyokong Najib mendakwa dakwaan terhadapnya adalah “tindakan balas dendam” oleh kerajaan Pakatan Harapan diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sebelum ini di bawah ke Kompleks Mahkamah Najib memberi keterangan selama empat jam berhubung siasatan kes 1MDB berkaitan dakwaan kemasukan wang lebih RM2 bilion ke akaun peribadi beliau.
Najib meninggalkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Menara KPJ pada 1.38 tengah hari sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Najib sebelum itu tiba di menara berkenaan pada 9.20 pagi.
Beliau sebelum ini didakwa dengan tujuh pertuduhan jenayah pada bulan Julai dan Ogos lepas.
Pada 4 Julai, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Pada 8 Ogos beliau juga tidak mengaku salah atas pertuduhan menerima wang yang sama (RM42 juta) hasil daripada aktiviti haram ke dalam dua akaun miliknya.
Najib dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin sementara menunggu sebutan semula kes dan kesemua tujuh pertuduhan untuk dibicarakan bersama kerana ia melibatkan saksi dan dokumen yang sama.
Kes itu ditetapkan untuk sebutan pada 4 Oktober di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.