Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengingatkan semua pihak supaya berhenti menjadikan wakil-wakil rakyat sebagai ‘pelacur’ yang mampu dijual beli.
Ahli Parlimen Pulai itu juga menegaskan Rang Undang-Undang (RUU) Lompat Parti penting bagi menghentikan terus ‘permainan nombor’ yang menggugat kestabilan politik negara.
Beliau yang juga Timbalan Presiden AMANAH berkata, RUU tersebut mesti dibawa ke Parlimen supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak menjadi gelanggang menjual kerusi, maruah dan harga diri.
“Kita ahli politik adalah pembuat dasar penting negara, bukan ‘pelacur’ politik. Adalah penting bagi kestabilan politik dapat dicapai dalam tempoh terdekat dalam mendepani rakyat terjejas serta negara yang masin belum selesai berjuang daripada Covid-19.
“Asas ini penting bagi saya, kerana ia dapat memperkukuhkan politik kita dan tidak akan ada lagi permainan nombor atau ‘games of numbers’ lagi,” tegasnya.
Salahuddin berkata demikian pada sesi perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14, hari ini.
Menurutnya, RUU Lompat Parti itu sekali gus menjunjung titah Sultan Johor pada perasmian persidangan DUN bulan lalu supaya persidangan DUN tidak menjadi sangkar beruk.
“Kita tidak mahu lagi Parlimen dan DUN ini menjadi sangkar beruk di mana terdapat lagi wakil-wakil rakyat yang menjual mempergadaikan mandat mereka lompat ke sana ke mari,” tambahnya lagi.