Salahuddin persoal fungsi, kos seorang penasihat perdana menteri

Oleh KIM SYAZIE

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub mempersoal fungsi penasihat-penasihat khas perdana menteri di mana portfolio kesemua penasihat itu sama seperti kementerian yang berada di dalam kerajaan.

Menerusi ciapan di Twitter, Salahuddin turut mempersoal kos untuk seorang lagi penasihat yang akan dilantik dalam tempoh terdekat.

“Di saat rakyat dihimpit kos sara hidup yang membebankan, PM kita rancak melantik penasihat.

“Seorang penasihat ini berapa ‘kos’nya? Dan apa fungsi mempunyai penasihat dan kementerian dalam portfolio yang sama?,” soalnya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia).

Manakala Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri (Agama).

Terbaru, perdana menteri juga dilaporkan akan menerima Penasihat Khas baru dalam bidang kesihatan.

Untuk rekod, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

Menteri Agama pula disandang Senator Tuan Idris Ahmad, manakala menteri kesihatan ialah Khairy Jamaluddin.