Ahli Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub sekali lagi menghantar usul tergempar kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Azhar Azizan Harun untuk membenarkan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dibahas di Parlimen akan datang.
Menerusi surat yang dikongsikan di Facebook, Salahuddin berkata, usul yang dikemukakannya termaktub di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1)(2) berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan berhubung dakwaan Tan Sri Azam Baki memiliki saham dengan jumlah yang melampau.
Katanya, perkara ini perlu disegerakan bagi menggesa Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) melakukan siasatan dengan lebih lanjut terhadap Azam Baki.
“Selain itu ia berkaitan dengan kepentingan untuk mengembalikan keyakinan orang awam terhadap badan pencegah rasuah di Malaysia bagi mengekang aktiviti rasuah dan/atau segala aktiviti yang menjerumus kepada pecah amanah yang mana kerajaan bertanggungjawab menjawab perkara ini.
“Saya percaya isu ini berkaitan dengan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan selari dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 18(1)(2) yang perlu dibahaskan di Dewan mulia pada persidangan Parlimen akan datang,” katanya dalam surat tersebut.
Persidangan Parlimen, Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 dijangka akan diadakan pada 1 Mac 2022.
Azam Baki dilanda kontroversi hebat berhubung dakwaan pemilikan saham lebih dua juta unit di dua syarikat pada 2015.
Pada 18 Januari, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) merumuskan bahawa berdasarkan siasatan, mereka tidak dapat membuktikan terdapat pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung pemilikan saham menerusi akaun dagangan Azam Baki.
Pada 22 Januari, satu himpunan #TangkapAzamBaki digerakkan oleh NGO dan aktivis-aktivis politik bagi mendesak peletakan jawatan Azam Baki.
Azam terus didesak hebat untuk meletakkan jawatan sehingga hari ini.
Prestasi Indeks Persepsi Rasuah yang jatuh merosot ke tangga 62 bagi tahun 2021 menguatkan lagi desakan agar Azam Baki disiasat sepenuhnya.
Sementara itu di Facebook, Salahuddin juga mengharapkan agar usul yang dikemukakannya tidak ditolak.
“Semalam saya telah sekali lagi menghantar usul tergempar di bawah Peraturan Mesyuarat 18 berkenaan Ketua SPRM mempunyai jumlah saham yang melampau.
“Harapnya usul ini tidak lagi ditolak untuk dibahaskan. Kita wajib mengembalikan kepercayaan orang awam terhadap kredibiliti dan intergiti SPRM. Jika bukan di Parlimen di mana lagi?,” katanya.