Sampai masa untuk kita ‘membabikan’ rasuah?

Oleh KIM SYAZIE

Hujung minggu lepas saya menjadi ahli panel satu forum berkenaan rasuah. Ianya dianjurkan oleh IKRAM Selangor. Ahli panel yang lain ialah Dr Sahul Hamid dari UPSI dan Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Sebagai seorang ahli akademik di dalam bidang sejarah, Dr Sahul menerangkan berkenaan kejatuhan kerajaan-kerajaan besar termasuk kerajaan Islam apabila mereka melakukan kefasadan seperti rasuah.

Kemudian beliau menyatakan bahawa istilah rasuah itu sebenarnya tidak berapa tepat. Di luar negara termasuk Indonesia, apa yang mahu diperangi adalah “corruption” yang maknanya lebih hampir kepada kefasadan seperti yang disebutkan di dalam Al Quran.

Di dalam konteks Malaysia, orang Islam teramat sensitif kepada babi sehinggakan disebut khinzir. Sedangkan dosa dan kefasadan rasuah dan korupsi jauh lebih teruk dari memakan babi. Di sinilah timbul perbincangan untuk ‘membabikan’ rasuah supaya lebih dipandang hina oleh orang Islam di negara ini.

Saya juga terbaca pandangan Herjunot Ali yang menyatakan perkataan رشوة yang diambil dari bahasa Arab juga bukanlah satu istilah yang menggelikan di rantau berkenaan.

Mungkin inilah sebabnya orang Islam di Malaysia yang rata-ratanya Melayu tidak berasa loya dengan jenayah dan dosa rasuah kerana ianya juga tidak meloyakan di negara asal istilah berkenaan.

Apabila ada orang agama yang memberikan makna rasuah sekadar pertukan harta antara dua pihak secara haram, ianya pula seakan-akan cuba memberi gambaran bahawa rasuah tidak ada mangsa. Ini percubaan yang cukup merbahaya kerana rasuah tidak boleh dipisahkan dengan penyalahgunaan kuasa.

Dalam membuat keputusan, rasuah boleh menyebabkan orang yang layak diketepikan dan orang yang tidak layak dipilih. Dari segi kos pula, rasuah boleh menyebabkan satu-satu organisasi membayar kos yang lebih tinggi.

Siapa yang rugi, orang yang memiliki organisasi berkenaan kerana dana mereka berkurang disebabkan keputusan yang dibuat dengan menyalahi apa yang betul dan adil. Bukankah salah satu dari Maqasid Shariah ialah menjaga harta?

Dalam konteks negara, jika kerajaan membayar lebih dari harga yang sepatutnya, rakyatlah yang rugi. Ini adalah kerana dana kerajaan datang dari cukai yang dibayar oleh rakyat.

Ada pelbagai jenis cukai seperti cukai pendapatan, cukai perkhidmatan, eksais, cukai majlis tempatan dan sebagainya. Tanpa cukai-cukai ini, dana kerajaan akan mengecil.

Jika kerajaan meminjam pula, ianya perlu dibayar balik dengan kos pinjaman atau pun faedah. Dari mana datangnya dana untuk membayar balik hutang ini? Dari cukai juga.

Malah bayaran gaji, emolumen, pencen dan bayaran hutang sudah menjadi sebahagian besar dari perbelanjaan mengurus kerajaan. Tak banyak bakinya untuk perbelanjaan lain.

Jadi, sudah sampai masanya kita menggunakan istilah korupsi/kefasadan bagi menggambarkan buruk, hina dan jijiknya rasuah dan kegiatan-kegiatan yang seumpama dengannya.

Malah, masyarakat kena difahamkan bahawa memakan duit rasuah lebih teruk dan hina dari memakan babi kerana rasuah menyebabkan pelakunya menzalimi ramai orang lain.

Mungkin dengan kejelasan seperti ini, orang kita tidak akan membesar-besarkan individu-individu yang terbabit dengan rasuah, korupsi dan salahguna kuasa kerana kezaliman yang dilakukan oleh individu-individu berkenaan.

Jika individu-individu berkenaan berani melawan perintah Allah dengan tidak malu-malu, apakah asasnya untuk mereka diberi sedikit penghormatan pun?

Ingatlah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar Al Ghifari yang direkodkan oleh Muslim (Hadis 6737)di bahagian:

‎يَا عِبَادِى إِنِّى حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِى وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلاَ تَظَالَمُوا

“Wahai hamba-Ku, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku menjadikan kezaliman itu haram di antara kalian, maka janganlah kalian saling menzalimi.