Sanggup catu perbelanjaan demi pergi umrah, jemaah terduduk lepas tahu ditipu

Oleh KIM SYAZIE

Seorang jemaah umrah terkilan selepas wang simpanannya untuk mengerjakan umrah ditipu sebuah agensi umrah sehingga dia mengalami kemurungan.

Pesara kerajaan, Nur Zamilah Buang, 58, berkata, dia sanggup berjimat dengan memasak sendiri di rumah dan mencatu setiap perbelanjaan supaya dapat menunaikan ibadah umrah.

Nur Zamilah berkata, sejak mengetahui ditipu, dia kemurungan selepas wang simpanan persaraan sebanyak RM33,000 untuk menunaikan ibadah umrah bersama keluarga lesap.

Menurutnya, kejadian itu bukan sahaja menyebabkan dia mengalami tekanan perasaan malah lebih mengecewakan 18 ahli keluarganya turut menjadi mangsa, menjadikan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM89,000.

Saya dan suami baru sahaja bersara tahun lepas. Kami berjimat sejak sekian lama demi ibadah ini. Saya masak di rumah, tidak makan luar, catu setiap perbelanjaan.

“Bila tahu ditipu, saya tidak bercakap dengan suami selama empat hari. Suami pula termenung, kami langsung tidak lalu makan,” katanya pada sidang media di Pejabat MHO, semalam.

Katanya, dia sekeluarga sepatutnya bertolak ke Tanah Suci pada 25 Februari lalu, tetapi agensi memberi alasan penerbangan ditunda tanpa sebab yang kukuh serta gagal memaklumkan tarikh baharu.

“Sehingga kini, mereka masih tidak dapat dihubungi. Saya sangat kecewa kerana niat kami adalah suci untuk menunaikan umrah, tetapi akhirnya ditipu.

“Pakej umrah terbabit diperoleh melalui aplikasi TikTok dan dipercayai sah kerana syarikat berkenaan didaftarkan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya lagi.

Baca juga: Peniaga di Mekah puji bau badan jemaah Malaysia wangi